ZII JIA diberi tempoh sehingga 14 November untuk menandatangani persetujuan. -FOTO NSTP
ZII JIA diberi tempoh sehingga 14 November untuk menandatangani persetujuan. -FOTO NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Jawatankuasa program Road To Gold (RTG) mengambil keputusan untuk mengekalkan pemain profesional negara, Lee Zii Jia selepas menunjukkan peningkatan yang positif meskipun tidak berada dalam dalam kelompok 10 ranking dunia.

Pengerusi RTG, Hannah Yeoh berkata, keputusan itu diambil selepas melihat Zii Jia mempamerkan aksi konsisten dalam beberapa kejohanan terakhir sehingga Oktober lalu termasuk muncul juara di Terbuka Artik dan ke final Terbuka Denmark.

"Prestasinya dari Jun hingga sekarang naik tiga tangga ranking dunia dan 11 anak tangga dalam kedudukan kelayakan,"

"Mengikut ranking, Zii Jia ada peningkatan cuma status terkininya dalam RTG belum dipastikan kerana dia belum menandatangani kontrak persetujuan komitmen," kata Hannah.

Mengikut ranking dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikemaskini hari ini (31 Oktober 2023), Zii Jia kini di tangga ke-11 dunia, manakala dari segi pungutan mata untuk ke Olimpik Paris, dia di kedudukan kesembilan.

Sementara itu, penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, Zii Jia satu-satunya atlet yang belum menandatangani kontrak perjanjian persetujuan komitmen bersama RTG.

"Semua atlet lain sudah menandatanganinya, tapi kita faham kerana dia sibuk mengikuti pertandingan di luar negara dan baru balik ke tanahair.

"Belum ada kesempatan berjumpanya secara peribadi. Saya akan cuba sedaya upaya kerana persetujuan komitmen ini penting.

"Jawatankuasa memberi masa sehingga 14 November untuk dia menandatangani persetujuan untuk komitmen ini," kata Stuart.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 6:01 PM