HANNAH (dua kiri) bersama Zii Jia (dua kanan). FOTO Hannah Yeoh
HANNAH (dua kiri) bersama Zii Jia (dua kanan). FOTO Hannah Yeoh
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sudah pun mengadakan pertemuan dengan pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dan menyifatkan ia sebagai satu perbincangan yang positf terutama untuk program Road To Gold (RTG).

Menurut Hannah dalam satu hantaran di akaun media sosialnya, pertemuan itu diadakan bersama penyelaras RTG, Stuart Ramalingam dan pemain di ranking keempat dunia itu juga menyokong inisiatif program berkenaan dan bersyukur kerana tersenarai.

"Satu pertemuan yang positif. Lee Zii Jia menyokong inisiatif RTG dan bersyukur kerana disenaraikan dalam projek nasional ini. Lee Zii Jia memberitahu saya, dia sangat mengimpikan pingat emas pertama di Paris 2024 untuk negara.

"Ini adalah yang saya mahu dengar daripada atlet kita, ia bermula dengan keinginan mendapatkan emas," kata Hannah dalam hantaran berkenaan di Facebook

Sebelum ini, media melaporkan Hannah mahu mengadakan pertemuan dengan pemain berusia 25 tahun itu sebaik Zii Jia pulang daripada siri kejohanan di Eropah bagi membantunya susulan prestasi tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Hannah berkata, Stuart akan melakukan perbincangan lanjut bersama ejen Zii Jia bagi mendapatkan perincian berhubung komitmennya dalam program RTG termasuk kejurulatihan dan koordinasi rakan sepelatih.

"Penyelaras RTG, Stuart akan berbincang dengan lebih lanjut bersama ejen Lee Zii Jia berhubung komitmennya kepada RTG yang mana termasuk kejurulatihan dan koordinasi sparring," kata Hannah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 3:17 PM