HANNAH menjawab soalan pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adlli Abd Halim. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
HANNAH menjawab soalan pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adlli Abd Halim. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Ferzalfie Fauzi


Putrajaya: Walaupun ada penurunan ranking dunia dan wakil negara tersingkir awal di Masters Malaysia minggu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan setakat ini tidak ada perubahan senarai pemain badminton dalam program Road To Gold (RTG).

Menurutnya, ia sudah jelas syarat program RTG adalah bekas pemenang pingat Olimpik dan atlet yang berada dalam senarai 10 terbaik dunia berdasarkan sukan masing-masing.

"Tidak ada (pemain badminton keluar dan masuk program RTG).

"Kalau mereka hendak masuk mestilah berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS), di sini, hari ini.

Ujar Hannah, bukan mudah untuk menyingkirkan pemain daripada program berkenaan kerana perlu mendapat nasihat daripada penasihat teknikal.

"Kita mempunyai penasihat teknikal seperti Datuk Dr Ramlan Aziz, Josiah Ng dan Datuk Lee Chong Wei, perspektif mereka perlu diambil kira, itulah keputusan dalam program RTG," katanya.

Kemas kini ranking dunia pemain badminton menyaksikan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) menduduki tangga ke-10 manakala dua beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (ketiga) dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di tempat ketujuh.

Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah di tangga ke-11, namun dijangka meningkat selepas meraih gelaran naib juara Masters Malaysia, Ahad lalu.

Beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (ke-18) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai (ketujuh) selepas kedua-dua pasangan itu terkandas di pusingan pertama kejohanan itu.

Ditanya mengenai Zii Jia, Hannah berharap pemain berusia 25 tahun itu dapat fokus dan memberikan yang terbaik sepanjang kelayakan Olimpik terutama selepas mendapat sentuhan jurulatih baharu, Wong Tat Meng.

"Saya gembira untuk Zii Jia kerana sebelum pengumuman, dia mempunyai masalah tiada jurulatih.

"Ia sangat penting buat dia mempunyai jurulatih dan bergerak ke depan kerana kita tahu dia mahu memenangi emas," kata Hannah.

Ditanya sama ada gaji Tat Meng termasuk dalam program RTG, beliau berkata, ia sama seperti pengumuman program itu sebelum ini.

"Sama seperti pengumuman sebelum ini, program RTG adalah tambah baik kepada atlet, jurulatih pula adalah keperluan asas (untuk atlet). Jadi peranan RTG adalah penambah baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 2:49 PM