KIN Wai (tengah) bersama ketua pasukan, Sim Yip How (kiri) dan penolong pengurus,  Phoon Kok Choon pada sidang media hari ini.
KIN Wai (tengah) bersama ketua pasukan, Sim Yip How (kiri) dan penolong pengurus, Phoon Kok Choon pada sidang media hari ini.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Barisan atlet catur Xiang Qi bakal menerima durian runtuh RM50,000 sekiranya berjaya memenangi pingat emas pada temasya Sukan Sea Kemboja bermula 5 sehingga 17 Mei ini.

Demikian janji Persatuan Xiang Qi Malaysia dalam usaha meniupkan semangat kepada barisan atletnya untuk memburu pingat emas yang belum pernah dimenangi mereka pada temasya dwi tahunan itu.

Pengurus pasukan, Seck Kin Wai berkata, ganjaran itu sudah dimaklumkan persatuan dan terpulang kepada barisan atlet mereka untuk cuba mencapai sasaran itu.

"Persatuan sudah memberi motivasi kepada atlet untuk menawarkan ganjaran sekurang-kurangnya RM50,000 jika memenangi pingat emas, jadi mereka perlu berusaha untuk mendapatkannya.

"Kami serius mahukan emas dan membayar jurulatih dari China, 40,000RMB (RM25,000). Jurulatih itu seorang pengulas terkemuka yang juga Grand Master iaitu Wang Bin," katanya pada sidang media hari ini.

Ditanya adakah pihak persatuan sanggup memberi ganjaran sekiranya atlet mereka memenangi lebih daripada satu emas, Kin Wai berkata, mereka sememangnya sudah bersedia dari sudut itu.

Menurut beliau, imbuhan ditawarkan itu akan dihulurkan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang bersetuju menyokong usaha mereka.

Ujarnya, sekurang-kurangnya dua pingat perak yang disasarkan di temasya Kemboja adalah menerusi acara Individu Standard Wanita serta Berpasukan Blitz Lelaki.

Sukan Xiang Qi kali pertama dipertandingkan pada temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam, Mei lalu yang menyaksikan skuad negara meraih dua pingat perak dan tiga gangsa.

Kali ini skuad negara menghantar enam atlet untuk empat acara iaitu Berpasukan Rapid Lelaki, Berpasukan Blitz Lelaki, Individu Standard Lelaki dan Individu Standard Wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 5:49 PM