ATLET negara memasang impian untuk mengejutkan tuan rumah yang menjadi salah sebuah negara pencabar utama sukan terbabit. FOTO Agensi
ATLET negara memasang impian untuk mengejutkan tuan rumah yang menjadi salah sebuah negara pencabar utama sukan terbabit. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penampilan sulung di temasya Sukan Sea Vietnam pada Mei depan bukanlah alasan untuk atlet sukan catur cina atau dikenali sebagai xiang qi tampil sebagai pelengkap kejohanan semata-mata.

Namun, Penolong Setiausaha Agung Persatuan Xiang Qi Malaysia, Seck Kin Wai berkata, mereka tetap optimis mampu melakar kejutan dengan membawa pulang pingat untuk negara.

Beliau berkata, wakil negara memasang impian untuk mengejutkan tuan rumah yang menjadi salah sebuah negara pencabar utama sukan terbabit.

"Ini kali pertama kami menyertai Sukan Sea. Kami aktif sejak 14 tahun lalu dan ada pasukan kebangsaan.

Tentunya akan bersaing merebut pingat dan pesaing utama kami adalah Vietnam dan Singapura.

"Di Sukan Asia (2010), kami tak dapat sebarang pingat kerana ia peringkat Asia namun sekiranya di peringkat Asia Tenggara, kita adalah kedua terbaik dalam sukan ini. Jadi kami akan berjuang memburu pingat. Harap dapat kejutkan tuan rumah untuk pingat emas," katanya.

Di Hanoi nanti, sukan xiang qi akan diwakili empat atlet lelaki dan dua wanita yang akan menyahut cabaran negara dalam empat acara antaranya individu lelaki dan wanita.

Sukan xiang qi dijadual dipertandingkan di Quang Ninh Exhibition Palace of Urban Planning & Expo dari 14 hingga 20 Mei ini.

Selain itu, Kin Wai berkata, mereka pernah menyertai kontinjen negara di Sukan Asia Guangzhou 2010 dan dijadual mewakili negara di temasya sama di Hangzhou, September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 8:39 PM