PHOON Eyin antara  tiga  atlet wushu wanita  yang akan menggalas cabaran negara di Indonesia.
PHOON Eyin antara tiga atlet wushu wanita yang akan menggalas cabaran negara di Indonesia.
Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Kekuatan sama rata dimiliki tujuh atlet wushu kebangsaan yang diberi kepercayaan ke Sukan Asia, Jakarta dan Palembang, Indonesia bulan ini mampu membantu Malaysia meraih sekurang-kurangnya dua pingat pada temasya berkenaan.

Tetapi, mereka harus mengelak daripada melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan peluang meraih pingat kerana wushu dikategorikan sebagai sukan berprestasi tinggi.

Skuad wushu negara dibarisi tujuh atlet dengan empat daripada mereka adalah lelaki iaitu Wong Weng Son, Yeap Wai Kin, Loh Jack Chang dan Calvin Lee Wai Leong, manakala tiga lagi adalah atlet wanita iaitu Phoon Eyin, Tan Cheong Min serta Audrey Chan Yee Jo.

Daripada jumlah itu, tiga adalah dari Program Podium kendalian Institut Sukan Negara (ISN) iaitu Weng Son, Wai Kin dan Jack Chang.

Sandaran utama Malaysia adalah juara dunia 2017 acara Jianshu iaitu Weng Son dan rakan sepasukannya, Wai Kin, namun kontinjen negara tidak bernasib baik apabila acara Jianshu serta Qiangshu tidak dipertandingkan di Indonesia.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt menyifatkan pihaknya tidak meletakkan sasaran khusus, namun yakin dua pingat dapat dibawa pulang dari bumi Indonesia.

“Kita tidak ada sasaran namun akan ada pingat tetapi warnanya tidak ditentukan. Kita harap sekurang-kurangnya dua pingat kerana acara terbaik kita tidak dipertandingkan di Sukan Asia iaitu Jianshu dan Qiangshu.

“Bagi kita semua tujuh atlet yang bertanding mempunyai potensi, malah sesiapa saja mampu memenangi pingat kerana mereka semua adalah setaraf. Sukar untuk memberi jangkaan, tetapi jika kesilapan dilakukan maka pingat akan hilang begitu saja,” kata Kim Fatt.

Mengulas lanjut, Kim Fatt menjelaskan baki masa yang ada sebelum Sukan Asia akan digunakan untuk mengekalkan tahap psikologi serta kekuatan atlet sebelum bertolak ke Indonesia pada 15 Ogos.

Kim Fatt dalam masa sama turut memaklumkan semua atlet sudah menjalani ujian doping, sekali gus berharap agar insiden yang berlaku di Incheon empat tahun lalu, tidak berulang.

Ketika itu, emas yang dimenangi Tai Cheau Xue ditarik balik akibat gagal ujian doping.

Malaysia pernah memenangi tiga pingat emas berturut-turut di Sukan Asia menerusi Ho Ro Bin dalam acara Nanquan lelaki di Busan, Korea Selatan 2002, Chai Fong Ying membabitkan acara Taijiquan di Doha, Qatar, 2006 dan Chai Fong Ying (Taijiquan / Taijijian di Guangzhou, China, 2010).

Malaysia yang berada di kedudukan lima terbaik rantau Asia serta dibarisi atlet kategori A dijangka berdepan cabaran tuan rumah selain negara kuasa besar seperti China, Hong Kong, Jepun dan Vietnam.

Wushu mula dipertandingkan di temasya Sukan Asia pada 1990 yang ketika itu dianjurkan di Beijing, China, dan penyertaan pertama Malaysia dalam sukan ini adalah pada edisi 2002 (Busan, Korea Selatan).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 2:56 AM