WENG Son mengumpul  9.64 mata. FOTO/AJITPAL
WENG Son mengumpul 9.64 mata. FOTO/AJITPAL
Ajitpal Singh


WONG Weng Son akhirnya muncul juara dunia dalam sukan wushu.

Atlet berasal dari Negeri Sembilan itu memenuhi impiannya dengan memenangi pingat emas acara jianshu lelaki pada Kejohanan Wushu Dunia di Kazan, Russia, awal pagi tadi.

Weng Son, pemenang pingat emas pada Piala Dunia Taolu tahun lalu dan Kejohanan Asia, mencatat 9.64 mata.

Lee Ha Sung dari Korea Selatan meraih pingat perak dengan 9.60 mata manakala seorang lagi peserta negara, Yeap Wai Kin merangkul pingat gangsa dengan 9.53 mata.

Bagi Weng Son, kejuaraan itu amat bermakna kerana dia hanya meraih pingat perak dalam acara jianshu dan qiangshu sesudah tewas kepada Wai Kin pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu.

“Ia satu pencapaian hebat meraih kejuaraan dalam pertandingan paling berprestij dunia wushu,” kata Weng Son.

Rakan sepasukan Tan Cheong Min melengkapkan persembahan cemerlang dalam acara nangun wanita apabila meraih pingat gangsa dengan 9.59 mata.

Peserta China, He Jianxin muncul juara acara itu dengan 9.62 mata keseluruhan diikuti Juwita Niza Wasni dari Indonesia dengan 9.60 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 9:46 AM