WAI Kin bergambar bersama pingat gangsa yang dimenanginya. FOTO Bernama
WAI Kin bergambar bersama pingat gangsa yang dimenanginya. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Atlet wushu, Yeap Wai Kin menutup kempen Sukan Sea Hanoi dengan meraih pingat gangsa hari ini pada penampilan yang mungkin terakhir untuknya di temasya dwitahunan itu.

Wai Kin menduduki tempat ketiga dalam acara daoshu-gunshu lelaki, yang berlangsung selama dua hari di Gimnasium Cau Giay, dengan markah keseluruhan 19.26 mata.

Wai Kin meraih 9.58 mata dalam acara daoshu semalam tetapi bangkit semula dengan 9.68 mata dalam acara gunshu hari ini.

Atlet Indonesia, Seraf Naro Siregar meraih emas dengan 19.42 mata manakala Jowen Lim dari Singapura meraih perak dengan 19.38 mata.

Clement Ting, yang memenangi emas changquan lelaki pada Jumaat lalu, menduduki tempat kesembilan dengan 9.49 mata. Markah rendah Clement adalah disebabkan oleh kerosakan pada pedangnya semasa disiplin daoshu, semalam.

Wai Kin berkata memenangi gangsa adalah detik yang penuh emosi kerana dia sudah merancang untuk bersara.

"Saya tersilap melakukan lompatan dan pendaratan semasa acara daoshu semalam dan telah dipotong mata.

"(Seterusnya) saya berada di tempat kelapan menyertai acara gunshu hari ini dan saya tidak sangka akan mencabar untuk pingat.

"Sasaran saya hanya untuk beraksi sebaik mungkin dan memastikan saya tidak akan menyesal kerana ini mungkin persembahan terakhir saya di Sukan Sea.

"Saya benar-benar tidak menyangka untuk memenangi gangsa hari ini, jadi untuk menamatkan saingan di podium sudah pasti detik yang penuh emosi buat saya kerana tidak tahu sama ada saya akan beraksi di Sukan Sea akan datang.

"Saya sudah mula merancang untuk bersara tetapi belum mengesahkan bila akan bersara lagi," kata Wai Kin yang menjadi tonggak utama dalam pasukan negara sejak sedekad lalu.

Wai Kin yang memenangi dua emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 berkata, dia percaya atlet muda negara sudah bersedia untuk mengambil alih tempatnya.

"Ini kali keenam saya beraksi di Sukan Sea. Saya membuat penampilan sulung di Sukan Sea di Laos 2009," kata atlet kelahiran Pulau Pinang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 4:24 PM