DATUK Ng Joo Ngan. FOTO NSTP
DATUK Ng Joo Ngan. FOTO NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Legenda sukan berbasikal, Datuk Ng Joo Ngan yakin skuad negara mampu mengekalkan pingat emas yang diraih pada temasya Sukan Sea Hanoi apabila turun bertanding pada Sukan Kemboja Mei ini.

Bagaimanapun legenda sukan berbasikal itu berkata, bagi memastikan pingat emas itu kekal dalam genggaman pasukan negara, mereka perlu bijak mengatur strategi berbeza memandangkan pencabar mereka sudah berjaya menghidu taktik yang digunakan.

"Tahun lalu, saya memberitahu MOM (Majlis Olimpik Malaysia) untuk membantu pasukan kebangsaan dan memastikan pasukan TSG (Terengganu Cycling Team) dan Sapura bergabung. Sekarang ini, mereka sudah bergabung dan membawa pulang emas.

"Jadi tahun ini, saya belum pasti lagi (bersama skuad negara di Kemboja) dan kalau boleh mahu memberikan peluang kepada jurulatih muda untuk mengendali mereka. Apapun, kita harus membawa pulang pingat emas dan kekalkan prestasi.

"Saya adalah orang lama, kalau boleh saya tak mahu. Beri peluang kepada orang muda (jurulatih) untuk menimba pengalaman di sana.

"Ini kerana kamu (jurulatih muda) perlu tahu kenapa tak boleh menang ataupun kalah perlumbaan. Jadi jurulatih muda perlu belajar daripada semua ini," kata Joo Ngan.

Untuk rekod, pada temasya Sukan Sea yang lalu skuad berbasikal negara berjaya neraih satu emas, dua perak dan dua gangsa secara keseluruhan bagi acara lebuh raya.

Emas diraih Nur Aiman Mohd Zariff dalam acara lebuhraya lelaki manakala Nur Aisyah Mohamad Zubir membawa pulang perak dalam acara lebuhraya wanita sebelum membantu pasukan lebuhraya wanita disertai Nor Aisyah Munirah Chek Ramli, Siti Nur Adibah Akma, Jupha Somnet meraih kilauan pingat sama.

Nur Aisyah turut meraih gangsa dalam acara kriterium wanita manakala Nur Aiman Rosli menghadiahkan kilauan pingat sama dalam acara ujian masa lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 4:09 PM