JOO Ngan (tengah) yakin tidak akan berlaku lagi masalah seperti yang terjadi pada Sukan Sea 2019. FOTO AIZUDDIN SAAD
JOO Ngan (tengah) yakin tidak akan berlaku lagi masalah seperti yang terjadi pada Sukan Sea 2019. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar dan Affan Rostam


Kuala Lumpur: Kombinasi pelumba profesional terdiri daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) dan Sapura Cycling Team (TSC) bakal merealisasikan impian negara untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu emas dalam acara berbasikal lebuh raya di temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam.

Jurulatih skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan Datuk Ng Joo Ngan berkata, walaupun Malaysia bakal dicabar beberapa negara lain seperti Thailand namun kemampuan dan kebolehan yang dipamerkan barisan pelumba ketika ini cukup memuaskan.

Beliau berkata, berdasarkan kepada prestasi terkini terutama ketika menyertai kejohanan di Thailand baru-baru ini mendapati pelumba negara berpotensi melakukan kejutan dengan membawa pulang kejayaan untuk Malaysia.

"Sudah lama saya tidak bersama dengan pasukan kebangsaan. Saya perlu berhati-hati untuk mengatur strategi yang berkesan buat skuad negara pada Sukan SEA di Vietnam nanti.

"Secara peribadi, kami mempunyai pasukan yang kuat dengan kombinasi pasukan profesional Sapura dan TSG. Kali ini juga tidak akan berlaku lagi masalah seperti yang terjadi pada Sukan Sea 2019.

"Kami perlu membawa pulang semula pingat emas kepada Malaysia pada Sukan Sea kali ini," katanya pada sidang akhbar di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Mengikut rekod, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meletakkan sasaran satu pingat emas untuk acara kriterium lelaki dan dua kejayaan podium bagi kategori ujian masa lelaki dan berpasukan wanita.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas berbasikal lebuh raya Sukan Sea adalah melalui Mohamed Harrif Salleh dalam acara kriterium dan ujian masa berpasukan lelaki sewaktu edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Selain Harrif yang bakal menjadi sandaran pasukan lelaki, Nur Aisyah Mohd Zubir pula antara pelumba harapan untuk meraih sesuatu buat skuad berbasikal lebuh raya wanita di Hanoi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 6:32 PM