Syazwan Msar


Phnom Penh: Pelumba negara, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki membuktikan dia bukanlah 'budak mentah' dalam acara berbasikal apabila berjaya memenangi emas dalam acara lebuh raya individu lelaki yang berlangsung di Angkor Wat, sebentar tadi.

Kejayaan terbabit cukup bermakna buat dirinya apabila sebelum ini membawa pulang perak dalam acara berbasikal lebuhraya kriterium lelaki semalam dan terkini mengenggam emas untuk kategori lebuh raya individu sejauh 150.6 kilometer (km).

Kayuhan bertenaga yang dipamerkan Nur Amirul sukar digugat peserta lain seterusnya memastikan pingat emas menjadi Milik Malaysia dengan catatan masa 3 jam 22 minit 50 saat.

Pingat Perak pula dimenangi peserta dari Indonesia, Aiman Cahyadi manakala wakil dari Filipina Ronald Oranza membawa pulang gangsa dengan masing-masing turut mencatatkan 3 jam 22 minit 50 saat seperti Nur Amirul namun pemenang ditentukan menerusi 'photo finish'.

Menurut Nur Amirul, pengorbanannya meninggalkan isteri dan dua anak berusia satu dan lima tahun untuk menyertai kem latihan ternyata berbaloi apabila berjaya merangkul dua pingat untuk negara.

"Apa yang boleh saya katakan kejayaan ini adalah kerjasama berpasukan yang sentiasa komited dalam mengekalkan kayuhan hingga ke garisan penamat.

"Saya melakukan persiapan rapi untuk bersaing di Sukan Sea Kemboja termasuklah memastikan fizikal dan mental berada pada tahap terbaik kerana saingan daripada peserta lain cukup hebat.

"Cabaran utama adalah meninggalkan ahli keluarga terutama anak yang masih kecil demi melakukan persiapan rapi sebelum ke Kemboja" katanya, yang sudah menyertai tiga edisi temasya dwitahunan itu.

Mengikut rekod, pada Sukan Sea di Vietnam menyaksikan pelumba negara, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff meraih emas acara berbasikal lebuh raya lelaki dan pada edisi kali ini Malaysia mengekalkan pingat terbabit menerusi Nur Amirul.

Sementara itu, jurulatih berbasikal negara Mohd Sayuti Mohd Zahit berkata, kerjasama berpasukan menjadi kunci kejayaan kepada pelumba Malaysia meraih emas pada hari ini.

"Mereka berjaya menyerap setiap tekanan dan mengikuti setiap taktikal serta strategi demi memastikan Malaysia sentiasa berada di kelompok hadapan.

"Paling penting adalah Malaysia terus dapat mengekalkan pingat emas yang dimenangi tahun lalu sekali gus meniup semangat pelumba lain untuk mencipta keputusan positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 2:56 PM