PELUMBA basikal berpengalaman negara, Harrif Saleh. FOTO FB HARRIF SALEH
PELUMBA basikal berpengalaman negara, Harrif Saleh. FOTO FB HARRIF SALEH
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal negara, Harrif Saleh kemungkinan tidak akan diturunkan bagi acara lebuh raya di Sukan Sea Hanoi, Vietnam yang akan berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini.

Perkara itu disuarakan pengurus skuad berbasikal negara, Firdaus Arshad yang menyifatkan trek perlumbaan di Bandar Hoa Binh itu dilihat kurang sesuai dengan keupayaan Harrif ketika ini.

"Kita sudah tengok profil trek di Hoa Binh itu dan mendapati trek itu lebih kepada mendaki. Jadi ia tak sesuai untuk pelumba pecut seperti Harrif.

"Kemungkinan Harrif tidak diturunkan dalam acara lebuh raya dan kita akan letak dia dalam acara kriterium. Tapi, kita tengok keadaan semasa di sana dan jika sesuai, kita akan berbincang semula.

"Bagaimanapun dia tetap jadi sandaran untuk dapatkan emas bagi acara kriterium dengan kelebihan utama dari segi pengalaman," katanya semasa ditemui di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

Firdaus bekrata, buat masa ini pasukan negara tidak dapat membuat analisis terhadap kemampuan negara lain disebabkan kurangnya penyertaan mereka dalam kejohanan, baru-baru ini.

Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan tetap optimis dengan kemampuan anak buahnya untuk membawa pulang pingat emas bagi menebus kekecewaan Sukan Sea 2019 di Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 7:03 PM