JOO Ngan (tengah) kosongkan tugas sebagai jurulatih berbasikal lebuh raya.
JOO Ngan (tengah) kosongkan tugas sebagai jurulatih berbasikal lebuh raya.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengurus pasukan Team Sapura Cycling (TSC) Mohd Sayuti Mohd Zahit dan pengurus pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) Mohd Saiful Anuar Aziz, bakal mengemudi skuad berbasikal lebuh raya lelaki ke Sukan Sea 2023 di Phnom Penh, Kemboja Mei ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, persetujuan melantik kedua-dua individu itu sebagai jurulatih skuad negara sekali gus mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Ng Joo Ngan selaku ketua jurulatih pada Sukan Sea 2021 di Hanoi, Vietnam.

"PKBM membuat keputusan Sayuti dan Saiful Anuar akan menggalas tugas selaku jurulatih pada Sukan Sea Kemboja nanti.

"Joo Ngan sebelum ini menyatakan hasrat tidak lagi mahu menggalas tugas tersebut, jadi mereka (Sayuti dan Saiful Anuar) akan mengambil alih," katanya hari ini.

Abu Samah pada masa sama memaklumkan, berbaki beberapa minggu lagi sebelum temasya membuka tirai pada 5 Mei ini, skuad berbasikal lebuh raya akan menyertai Jelajah Thailand pada 1 hingga 6 April ini.

"Perlumbaan pemanas badan itu akan disertai pelumba TSC dan TSG yang ke Sukan Sea dan mereka bertolak ke sana (Thailand) pada Rabu ini (29 Mac)," katanya.

Sementara itu, Mohd Sayuti berkata pelantikan bersama Saiful Anuar diyakini dapat melunaskan misi mempertahankan pingat emas acara lebuh raya di temasya dwitahunan itu.

"Pada Sukan Sea Hanoi, kami memang sudah bergandingan dan Joo Ngan selaku ketua jurulatih serta perantara. Jadi kita akan teruskan perancangan seperti edisi lepas dan lebih penting misinya adalah untuk meraih pingat emas di Kemboja," katanya.

Mohd Sayuti berkata TSC dan TSG masing-masing menyenaraikan empat pelumba bagi menggalas cabaran di Sukan SEA bagi edisi kali ini.

"Pelumba itu ialah Nur Aiman Rosli, Akmal Hakim Zakaria, Muhammad Yusri Shaari, Muhammad Saari Amri daripada TSC sementara Nur Aiman Mohd Zariff, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, Mohd Shahrul Mat Amin dan Wan Abdul Rahman Hamdan daripada TSG," katanya.

Pada temasya di Hanoi, skuad berbasikal negara menamatkan cabaran dengan membawa pulang satu emas, dua perak dan dua gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 9:49 PM