HARRIF pemenang pingat emas Sukan Sea 2015 dan 2017.
HARRIF pemenang pingat emas Sukan Sea 2015 dan 2017.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pakar pecut negara, Harrif Saleh tidak disenaraikan dalam skuad berbasikal lebuh raya ke Sukan Sea Kemboja bermula 5-17 Mei ini.

Pengurus pasukan Norazman Abu Samah berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama barisan jurulatih kerana laluan bagi edisi kali ini memerlukan pelumba serba boleh untuk membawa saingan pasukan.

Beliau berkata hanya acara kriterium dan lepas beramai-ramai individu dipertandingkan bagi disiplin lebuh raya kali ini, dengan laluan landai dengan sedikit berbukit, yang tidak sesuai untuk menurunkan Harrif.

Harrif, 34, dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), merupakan pemenang pingat emas kriterium Sukan Sea 2015 dan 2017, serta juara acara lepas beramai-ramai edisi 2017, selain pernah muncul juara empat peringkat pada Le Tour de Langkawi (LTdL).

Lima pelumba lelaki yang dipilih bagi edisi kali ini adalah juara bertahan acara lepas beramai-ramai Nur Aiman Mohd Zariff serta Nur Aiman Rosli, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, Akmal Hakim Zakaria dan Shahrul Mat Amin.

Sementara itu, Norazman berkata Persatuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) akan menggunakan formula sama seperti edisi Hanoi 2021, dengan menggabung pelumba dari TSG dan membawa bersama jurulatih dan mekanik TSG dan Sapura Cycling Team (Sapura) ke Phnom Penh.

"Kami berharap dengan percaturan untuk menggabungkan pelumba dari dua pasukan benua - TSG dan Sapura, kami boleh mencapai kejayaan yang dimahukan," katanya kepada pemberita.

Pada edisi 2021 Hanoi yang diadakan tahun lepas, skuad negara membawa pulang emas acara lepas beramai-ramai individu lelaki, perak acara lepas beramai-ramai individu dan kumpulan wanita serta gangsa ujian masa lelaki dan kriterium wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 5:57 PM