TEO Tze Hui (kiri) dan adiknya, Teo Zun Jet (kanan) bergambar bersama bapa mereka, Teo Yong Jiew selepas berjaya meraih tiket untuk mewakili negara di Sukan Sea Kemboja menerusi kejohanan NeptuneX113 Aquathlon Putrajaya 2023 (NX113) di Tasik Putrajaya, hari ini. FOTO Agensi
TEO Tze Hui (kiri) dan adiknya, Teo Zun Jet (kanan) bergambar bersama bapa mereka, Teo Yong Jiew selepas berjaya meraih tiket untuk mewakili negara di Sukan Sea Kemboja menerusi kejohanan NeptuneX113 Aquathlon Putrajaya 2023 (NX113) di Tasik Putrajaya, hari ini. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Putrajaya: Walaupun kurang tiga tahun berkecimpung dalam sukan multi-disiplin, namun ia sudah memadai buat Teo Zun Jet dan kakaknya, Teo Sze Hui untuk menjadi antara atlet terbaik negara.

Kedua-dua mereka berjaya mengesahkan tiket ke Sukan Sea Kemboja selepas beraksi cemerlang dalam kejohanan NeptuneX113 Aquathlon Putrajaya 2023 (NX113) di Tasik Putrajaya, hari ini.

Zun Jet, 17, menang bergaya kategori elit lelaki selepas melengkapkan rutin renang 500 meter (m) dan larian 2.5 kilometer (km) dengan catatan masa 16 minit 12 saat (s), 14 saat mengatasi pencabar terdekatnya yang juga pilihan utama, Isaac Tan (16:26s).

Isaac adalah atlet triathlon utama kebangsaan yang bertanding di Sukan Komanwel Birmingham tahun lalu.

Lee Wen Jun (16:33s) dan Brendon Wong Kai (16:43s) masing-masing menduduki tangga ketiga dan keempat.

Persatuan Triathlon Malaysia (MTA) menggunakan NX113 untuk memilih dua atlet lelaki dan dua atlet wanita terbaik bagi mewakili pasukan kebangsaan dalam sukan Aquathlon yang bakal dipertandingkan buat kali pertama di Sukan Sea.

Walaupun tidak berjaya menempatkan diri di kedudukan dua teratas, slot kedua tetap menjadi milik Brendan.

Ini kerana Isaac akan fokus dalam acara triathlon di Kemboja nanti, sementara Wen Jun pula menjangkaui had umur bawah 23 tahun yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi atlet kategori B.

Dalam saingan wanita elit pula, dua tiket Sukan Sea berjaya direbut Siobhan Doyle dan Sze Hui selepas menghabiskan saingan di tempat kedua dan keempat dengan catatan 18:30s dan 19:16s.

Acara itu diungguli atlet Indonesia Renata Berliana dengan catatan 18:09s, manakala Ng Wen May melengkapkan kedudukan podium dengan 18:52s.

Wen May tidak dipertimbang untuk pemilihan kerana dia sudah pun disenarai MTA ke Sukan Sea bagi acara triathlon.

Kedua-dua beradik Teo langsung tidak menduga mereka akan dapat mewakili negara ke Sukan Sea buat kali pertama.

"Saya sebenarnya adalah perenang dan pemain polo air negeri (mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur). Saya hanya mula berjinak dalam disiplin larian dan berbasikal sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana itulah dua aktiviti yang boleh dilakukan.

"Lama kelamaan, saya mula berlatih dengan serius lalu menceburi sukan multidisiplin. Memang seronok kerana akhirnya dapat mewakili negara ke Sukan Sea, saya akan terus berlatih bersungguh-sungguh dan mudah-mudahan dapat memenangi pingat untuk Malaysia pada Mei nanti," kata Zun Jet.

Sementara itu, Sze Hui pula hanya berlatih berenang pada peringkat awal sebelum beralih kepada acara yang lebih mencabar.

"Seperti adik, saya juga bermula dari berenang sebelum mula fokus juga kepada disiplin berlari dan berbasikal ketika PKP.

"Saya bersyukur kerana akhirnya dapat mencapai matlamat saya untuk mewakili negara, walapupun bagi aquathlon. Sebelum ini saya sebenarnya ingin cuba layak ke Sukan Sea Vietnam dalam sukan triathlon, namun oleh kerana ia dipertandingkan dalam jarak rasmi Olimpik, hanya atlet 18 tahun ke atas sahaja boleh bertanding," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 7:45 PM