BARBORA gembira selepas meraih kejuaraan Terbuka Ostrava. FOTO EPA
BARBORA gembira selepas meraih kejuaraan Terbuka Ostrava. FOTO EPA
Reuters

Ostrava: Pemain tenis Republik Czech, Barbora Krejcikova ketepikan jaguh nombor satu dunia, Iga Swiatek dalam pertarungan membabitkan dua juara Terbuka Perancis di Ostrava.

Juara Roland Garros 2021 itu mara ke final saingan 500 WTA di Sydney pada awal tahun dan meneruskan momentum untuk ke suku akhir Terbuka Australia.

Pemain berusia 26 tahun itu melonjak ke tangga kedua dunia iaitu paling tinggi dalam kariernya Februari lalu sebelum berehat selama empat bulan akibat kecederaan siku.

Dia gagal untuk mara ke separuh akhir sekali lagi sehingga meraih dua kejuaraan dua minggu berturut-turut di Tallinn, Estonia dan di laman sendiri di Ostrava.

Barbora menang 5-7 7-6(4) 6-3 ke atas juara dua kali Terbuka Perancis, Iga yang tumpas buat kali pertama di final sejak 2019.

"Ia sangat sukar kerana saya memikirkan pada awal musim semuanya berjalan lancar.

"Bagaimanapun, kecederaan dan berehat lama, lebih daripada tiga atau empat bulan, sukar buat saya untuk kembali. Pada pertengahan musim baru saya cuba mencari rentak. Saya gembira dapat menemuinya semula," kata Barbora.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 7:22 PM