AKSI Anastasia pada saingan separuh akhir. FOTO AFP
AKSI Anastasia pada saingan separuh akhir. FOTO AFP
AFP

Paris: Anastasia Pavlyuchenkova akan bertemu pemain Republik Czech, Barbora Krejcikova di final Terbuka Perancis sekali gus final Grand Slam pertama untuk pemain Russia itu.

Anastasia menewaskan pemain diranking ke-85 dunia, Tamara Zidansek dari Slovenia 7-5, 6-3, manakala pemain bukan pilihan, Barbora bangkit sebelum dapat menewaskan Maria Sakkari 7-5, 4-6, 9-7 dalam tempoh tiga jam 18 minit.

Anastasia yang melangkah ke suku akhir di Paris sedekad lalu, muncul pemain pertama yang beraksi lebih 50 kejohanan utama sebelum beraksi di final pertama, mengatasi rekod 44 kejohanan milik naib juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2015, Roberta Vinci.

"Ia perjalanan yang panjang. Saya mempunyai perjalanan karier tersendiri yang istimewa. Setiap orang mempunyai cara masing-masing.

"Saya hanya sangat gembira dapat beraksi di final," kata pemain berusia 29 tahun itu yang melakukan penampilan pertama di pentas Grand Slam di Wimbledon pada 2007.

Barbora yang menduduki ranking ke-33 pula melangkah ke pentas final selepas terpaksa bekerja keras untuk menewaskan Maria.

"Saya sentiasa mahu beraksi pada perlawanan seperti ini, iaitu perlawanan yang mencabar di mana kedua-dua pemain beraksi dengan cemerlang.

"Jika saya tewas pada perlawanan ini, saya tetap bangga dengan diri sendiri. Memberi saingan adalah perkara paling penting," kata Barbora.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 1:12 PM