BRIGID bergambar bersama catatan rekod dunia miliknya di Chicago pada 13 Oktober 2019.
BRIGID bergambar bersama catatan rekod dunia miliknya di Chicago pada 13 Oktober 2019.
Agensi

London: Pemegang rekod dunia maraton wanita dari Kenya, Brigid Kosgei menarik diri daripada menyertai Maraton London pada Ahad ini susulan kecederaan dialami.

Brigid, 28, berkata, kecederaan hamstring kanan menjejaskan sesi latihannya sejak akhir-akhir ini.

Pemenang dua kali di London itu menduduki tempat keempat perlumbaan tahun lalu selepas meraih pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo.

"Saya lebih suka bersedia dalam keadaan terbaik," katanya. "Kami membuat keputusan untuk saya menarik diri dan mendapatkan rawatan lanjut."

Brigid yang menjuarai Maraton London 2019 dan 2020 mencipta rekod dunia wanita dengan catatan dua jam 14 minit empat saat di Maraton Chicago pada 2019.

Dia juga menjuarai Maraton Tokyo tahun ini dengan catatan keempat terpantas dalam sejarah.

Maraton London Ahad ini masih menampilkan beberapa jaguh bertaraf dunia seperti rakan senegara Brigid yang juga pemenang tahun lalu Joyciline Jepkosgei, 29, dan atlet Habsyah, Yalemzerf Yehualaw, 23, yang mencipta masa terpantas pada penyertaan sulung maratonnya selain memegang rekod dunia acara 10km perlumbaan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 11:17 AM