MIRZAN (depan, tengah) bersama Exco baharu Tenis Malaysia. FOTO ihsan TENIS MALAYSIA
MIRZAN (depan, tengah) bersama Exco baharu Tenis Malaysia. FOTO ihsan TENIS MALAYSIA
Nazri Abu Bakar


Melaka: Persatuan Lawn Tenis Malaysia (Tenis Malaysia) bakal mengumumkan perancangan tiga tahun persatuan itu pada Mesyuarat Exco pertama bersempena Kejohanan Piala Perdana Sarawak ITF World Tennis Tour Junior J1, 8 Oktober depan.

Tenis Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, persatuan itu kini dibarisi kepimpinan baharu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 24 September lalu di Kuala Lumpur dengan perwakilan sebulat suara mengekalkan Mirzan Mahathir selaku presiden selepas menang tanpa bertanding.

Jawatan Naib Presiden pula disandang Datuk Patrick C J Liee, Zainudin Osman dan Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan.

Jawatan Setiausaha Kehormat pula disandang Presiden Lawn Tenis Melaka (MLTA) Muhammad Shahrul Hafidz Ab Rahim selepas dipilih oleh presiden sebaik AGM itu selesai.

Tenis Malaysia turut memilih Bendahari Kehormat dan naib presiden serta tujuh barisan exco baharu dengan julung kalinya membabitkan dua wakil wanita.

"Usaha itu sebagai langkah menarik lebih ramai wanita terbabit dalam sukan tenis di negara ini selain menyediakan platform terbaik kepada bakat baru untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

"Dalam pada itu mesyuarat pertama persatuan bakal mengumumkan portfolio kepimpinan baharu bagi memastikan kecemerlangan sukan itu terus dipacu ke era lebih cemerlang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 10:27 PM