Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Selepas menjawat jawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selama 17 tahun sejak 1998, Tunku Imran Tuanku Ja’afar akan dicabar Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor bagi jawatan utama itu dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 22 Ogos ini.

Anwar ialah Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA).

Jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan kelibat ketua kontinjen Sukan SEA Singapura, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang juga Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mencabar penyandang jawatan, Tan Sri Mohamad Noor Rahim.

Panel bebas yang diketuai Ramesh Candar-Nair turut mengumumkan beberapa lagi jawatan kerusi panas terutama membabitkan pemilihan Setiausaha Kehormat MOM yang menyaksikan pertarungan dua penjuru di antara Datuk Low Beng Choo dan Datuk Danyal Balagopal.

Seperti dimaklumkan sebelum ini, penyandang jawatan Setiausaha Agung Datuk Sieh Kok Chi akan bertanding jawatan Penolong Setiausaha dengan ditentang T Kumar.

Sambil mengakui pemilihan itu sebagai sistem demokrasi dengan siapa saja layak bertanding, Tunku Imran berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mereka yang ingin mencabar jawatan itu.

”Saya gembira apabila begitu ramai menunjukkan minat dalam MOM dengan 30 persatuan menghantar pencalonan, hanya lima tidak berbuat demikian.

”Ahli jawatankuasa MOM dipilih melalui sistem demokrasi dan sehubungan itu, semua layak bertanding. Biar anggota majlis membuat pemilihan siapa yang mereka inginkan kerana bukan saya untuk bercakap mengenai mempertahankan jawatan ini.

“Jika mereka inginkan saya, mereka boleh berbuat demikian. Jika tidak, mereka juga boleh memilih. Biar pemilihan berlaku dengan adil,” katanya.

Sementara itu bagi jawatan Naib Presiden sebanyak 10 pencalonan diterima bagi mengisi lima tempat. Antara yang akan bertanding termasuklah anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Mohd Nazifuddin selain Prof Datuk Dr Zakaria Ahmad, Datuk Paduka Mumtaz Jaffar, Norcigi Norizan Ismail, Datuk N Radhakrishnan, Datuk Mohamad Taufik Omar, Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Datuk Nur Azmi Ahmad, Datuk Ong Poh Eng, Chong Kim Fatt.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 8:27 AM