ABDUL Halim yakin kemampuan Presiden PSM.
ABDUL Halim yakin kemampuan Presiden PSM.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Anarabangsa (Istaf) dilihat sedia menawarkan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan jawatan Naib Presiden 1 badan induk itu.

Setiausa Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, tawaran berkenaan bukanlah untuk mengambil hati Malaysia, sebaliknya pihaknya sudah merujuk dahulu kepada ahli Exco Istaf sebelum menawarkan jawatan berkenaan kepada Sumali.

"Ini bukan soal untuk memujuk, tetapi adalah untuk menggunakan kepakaran yang ada di Malaysia, sudah tentu kita tujukan kepada Presiden PSM.

"Saya percaya, dalam kita mahu membawa sukan ini ke peringkat lebih tinggi dan mengharmonikan kepimpinan di peringkat dunia, kita tidak boleh lupakan Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand serta Brunei.

"Apatah lagi Istaf sendiri sudah mengiktiraf PSM sebagai ahli gabungan kami sejak Julai lalu, namun kami masih belum berkesempatan untuk menganugerahkan sijil pengiktirafan itu kepada PSM," jelas Halim pada sidang media hari ini.

Sebelum ini Sumali menyelar mutu pengadilan badan induk dunia itu ketika perlawanan akhir acara regu di Sukan Asia Hangzhou 2022, yang menyaksikan Malaysia tewas kepada Thailand untuk berpuas hati membawa pulang pingat perak.

Jawatan Naib Presiden 1 itu sebelum ini disandang oleh Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf), Datuk Suhaili Abdul Rahman namun badan induk itu dibubarkan hanya selepas 10 bulan ditubuhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 5:26 PM