NORZA (kiri) pada Mesyuarat Agung Tahunan MOM yang dilakukan secara atas talian hari ini. FOTO Ihsan MOM
NORZA (kiri) pada Mesyuarat Agung Tahunan MOM yang dilakukan secara atas talian hari ini. FOTO Ihsan MOM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kekal kerusi nombor satu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) apabila sekali lagi memegang jawatan sebagai Presiden bagi penggal 2021/2025.

Pada pemilihan kepimpinan baharu sempena Mesyuarat Agung Tahunan MOM yang dilakukan secara atas talian hari ini, Norza menang tanpa bertanding selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan terbabit.

Selain itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin turut diumum menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden selepas menjadi calon tunggal bagi kerusi berkenaan.

Jawatan Bendahari juga menyaksikan tiada pertandingan dengan Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin kekal menyandang jawatan berkenaan manakala Moira Tan Siew See menang tanpa bertanding bagi kerusi penolong setiausaha agung wanita.

Perebutan bagi lima kerusi Naib Presiden menyaksikan persaingan membabitkan lapan calon akhirnya disandang Datuk Mumtaz Jaafar (wanita), Datuk Chong Kim Fatt, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Datuk Nur Azmi Ahmad.

Bagi jawatan Setiausaha Agung MOM pula yang menyaksikan pertandingan empat penjuru namun penyandang, Datuk Mohd Nazifudin Najib terus diberikan kepercayaan bagi penggal 2021/2025.

Jawatan Penolong Setiausaha Agung pula disandang Chan Foong Keong dan Moira Tan Siew See manakala Penolong Bendahari milik Datuk Mohd Nasir Ali.

Sementara itu, Norza berkata, tiga tahun akan datang boleh dikatakan tempoh yang agak sibuk bagi MOM berikutan dipenuhi dengan kejohanan utama peringkat antarabangsa.

Katanya, beliau akan membalas kepercayaan yang diberikan oleh semua pihak dengan memberikan komitmen tinggi dalam mengangkat martabat arena sukan tanah air.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua persatuan sukan yang sentiasa menyokong sejak dahulu lagi.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, masa berlalu dan kita akan melalui satu situasi yang agak sibuk dengan kejohanan utama sukan pada 2022 hingga 2024," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 8:19 PM