GIMNAS Wilayah Persekutuan memenangi pingat emas. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
GIMNAS Wilayah Persekutuan memenangi pingat emas. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketangkasan dua gimnas, Valerie Ng dan Lezane Tan menjadi kunci utama kejayaan Wilayah Persekutuan meraih pingat emas all-around gimrama berpasukan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini.

Dua lagi atlet gimrama kontinjen berkenaan, Nur Zhafirah Wong Rudy Kurniawan dan Erin Chan turut memberikan pungutan mata cemerlang.

Hasilnya, Wilayah Persekutuan berjaya meraih 225.65 mata keseluruhan daripada empat apparatus - gelung, bola, belantan dan riben - yang berakhir di Gimnasium 1 Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.

Jurulatih gimrama Wilayah Persekutuan, Clarissa Lee mengakui berbangga dengan kejayaan anak buahnya selepas menepati sasaran kontinjen membawa pulang pingat emas.

"Sukma ini sebenarnya adalah batu loncatan terbaik buat mereka semua diserapkan dalam skuad kebangsaan dan saya sangat berbangga dengan keseluruhan prestasi mereka," katanya.

Pingat perak menjadi milik Selangor yang diwakili Charmeine Tye, Ebony Chai, Emily Low dan Jasmine Low dengan 197.40 mata.

Gangsa pula dimenangi Cheong Nian Yao, Chloe Yap, Goh Hann Ning dan Trisha Ng dari Johor selepas memungut 188.10 mata keseluruhan.

Sementara itu, Wilayah Persekutuan terus membuktikan status mereka sebagai gergasi gimrama apabila memenangi pingat emas acara senaman berkumpulan.

Mereka diwakili Carol Na, Hannah Aisyah Abu Hassan, Koh Kau Qin, Qistina Balqis Joo Mazlan, Tam Shi Kwan dan Zara Firzanah Mohd Fazirul memungut 19.300 mata.

Pungutan mata itu membolehkan Wilayah Persekutuan menewaskan pemenang pingat perak, Pahang yang mengutip 18.150 mata dan Selangor di tempat ketiga (17.650 mata).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 10:06 PM