GIMNAS WP pamer aksi memukau. FOTO MSWP
GIMNAS WP pamer aksi memukau. FOTO MSWP
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Wilayah Persekutuan (WP) sekali lagi menunjukkan penguasaan mereka dalam sukan gimnastik berirama apabila memenangi pingat emas menerusi acara senaman berkumpulan (lima bola) di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini.

Acara yang berlangsung di Gimnasium 1 Majlis Sukan Negara (MSN) itu menyaksikan gandingan Carol Na Yuan Qi, Hannah Aisyah Abu Hassan, Koh Kai Qin, Qistina Balqis Joo Mazlan, Tam Shi Kwan dan Zara Firzanah Mohd Fazirul berjaya menambat hati juri dengan persembahan memukau sekali gus mengumpul sebanyak 23.350 mata.

Manakala, Selangor terpaksa berpuas hati dengan perak selepas merekodkan 21.200 mata biarpun cuba menyaingi Wilayah Persekutuan dengan corak persembahan bertenaga.

Gangsa pula menjadi milik bersama pasukan dari Negeri Sembilan dan Pahang selepas masing-masing mengumpul 19.800 mata.

Pengurus pasukan, Clarissa Lee jelas berpuas hati dengan setiap persembahan anak buahnya itu selain menganggap latihan yang dilakukan sejak awal tahun ini berbaloi.

"Persembahan gimnas kami dalam acara berkumpulan hari ini memang sangat baik. Kalau nak kata semua gerakan mereka itu sempurna itu memang tidaklah tapi mereka berjaya melakukan persembahan sangat baik.

"Untuk acara ini juga kami sasarkan untuk dapat emas. Jadi, kami dah siapkan kesemua gimnas sejak Mac yang lalu. Kami hantar mereka menyertai seberapa banyak kejohanan untuk beri pendedahan yang lebih luas.

"Secara keseluruhan prestasi mereka sangat baik, mereka pun dah berusaha dengan keras dan berlatih hari-hari," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat, hari ini.

Terdahulu, Wilayah Persekutuan turut memenangi acara senaman berkumpulan (lima tali) selepas memperoleh 19.300 mata manakala, pingat perak menjadi milik Pahang yang mengutip 18.150 mata dan Selangor meraih pingat gangsa (17.650 mata).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 9:55 PM