MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil persatuan sukan ketika Majlis Penyampaian Bantuan Pentadbiran Kepada Persatuan Sukan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur Tahun 2022 di Putrajaya, hari ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil persatuan sukan ketika Majlis Penyampaian Bantuan Pentadbiran Kepada Persatuan Sukan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur Tahun 2022 di Putrajaya, hari ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Saiful Affendy Sapran


Putrajaya: Kontinjen Wilayah Persekutuan disasarkan untuk menjuarai temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang bakal berlangsung dari 16 hingga 24 September di sekitar Lembah Klang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sasaran itu realistik kerana kontinjen Wilayah Persekutuan yang membabitkan penyertaan 766 atlet dan pegawai akan menyertai semua 31 sukan dipertandingkan.

"Persiapan kini 90 peratus dan setiap sukan sedang menjalani latihan di kem fasa terakhir. Kita meletakkan matlamat untuk menjadi johan keseluruhan bagi Sukma kali ini.

"Kontinjen Wilayah Persekutuan menyertai semua 31 sukan dipertandingkan. Langkah ini bagi memastikan kita dapat mengetengahkan barisan atlet pelapis. Sebab itulah saingan Sukma amat penting," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian bantuan pentadbiran kepada persatuan sukan di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur untuk tahun 2022 berjumlah keseluruhan RM318,000.

Sebanyak 80 persatuan sukan iaitu 48 persatuan sukan di Kuala Lumpur dan 32 persatuan sukan di Putrajaya menerima bantuan berjumlah antara RM3,000 sehingga RM8,000 itu.

Ketika kali terakhir Sukma dianjurkan di Perak pada 2018, Terengganu dinobatkan juara keseluruhan dengan memungut 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa.

Wilayah Persekutuan muncul naib juara apabila meraih 52 emas, 38 perak dan 49 gangsa. Kali terakhir Wilayah Persekutuan muncul juara keseluruhan pada 2014 di Perlis.

Sukma 2022 mempertandingkan 31 jenis sukan dengan 426 acara seperti akuatik, badminton, berbasikal, bola sepak, hoki, karate dan silat.

Ia membabitkan lima zon pertandingan antaranya di Kuala Lumpur, Bukit Jalil, Bangi, Shah Alam dan Pulau Langkawi yang bakal menjadi satu-satunya lokasi bagi sukan pelayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 7:23 PM