MOHAMAD Najib (enam dari kanan) menjulang trofi selepas Johor diumumkan sebagai juara keseluruhan Sukma 2022, malam tadi. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
MOHAMAD Najib (enam dari kanan) menjulang trofi selepas Johor diumumkan sebagai juara keseluruhan Sukma 2022, malam tadi. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kontinjen Johor perlu meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 70 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 sekiranya mahu mempertahankan kejuaraan dimenangi pada edisi tahun ini.

Ketua kontinjen Johor, Datuk Mohamad Najib Samuri berkata, jumlah itu adalah kedudukan paling selesa untuk menjamin Johor dapat mempertahankan kejuaraan dua tahun dari sekarang.

"Untuk Sukma kali ini, kami sasarkan awalnya 40 pingat emas dan untuk menjadi juara sekali lagi bagi edisi akan datang, saya mungkin minta MSN (Majlis Sukan Negeri) Johor sasarkan sekurang-kurangnya 70 pingat emas.

"Sebenarnya kami sudah buat analisis, 40 pingat emas itu boleh capai ranking lima terbaik. Kalau 50 pingat emas pula boleh dapat kedudukan tiga terbaik. 70 emas pula memang sah boleh juara dan itu juga yang saya maklumkan kepada Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) ketika beliau ada bertanya waktu kita capai 50 emas.

"Dia kata adakah Johor mampu menjadi juara? Saya kata kalau nak jadi juara kena dapat 70 pingat emas dan Alhamdulillah kami, dapat bonus tujuh lagi emas daripada keseluruhan 77 pingat emas," katanya.

Sementara itu ditanya berhubung ganjaran mungkin akan diperoleh atlet Johor susulan kejayaan itu, Mohamad Najib tidak menolak perkara itu, namun beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri Johor.

Johor muncul juara Sukma buat kali pertama selepas mengutip 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa pada temasya dwi tahunan itu.

Kutipan pingat itu jauh meninggalkan pencabar terdekat di tempat kedua iaitu Terengganu menerusi 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa manakala Wilayah Persekutuan ketiga dengan 55 emas, 68 perak dan 64 gangsa.

Terengganu yang diletakkan sebagai pilihan untuk mengekalkan kejuaraan dimenangi pada edisi empat tahun lalu di Perak, kali ini terpaksa akur kepada kehebatan atlet Johor apabila sejak awal temasya sudah mendahului senarai pungutan emas.

Dua atlet Johor, Muhammad Fakhrullah Rumaize dan Tan Rouxin masing-masing dinobatkan selaku atlet lelaki dan wanita terbaik pada temasya kali ini.

Fakhrullah dari sukan kanu meraih sembilan pingat emas dengan dua rekod kebangsaan manakala Rouxin membolot enam pingat emas, satu perak dan satu gangsa menerusi acara renang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 5:27 PM