TENGKU Adnan bersama atlet di majlis penyerahan bendera kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA XVIII, Sarawak 2016 di Menara Seri Wilayah, Putrajaya.
TENGKU Adnan bersama atlet di majlis penyerahan bendera kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA XVIII, Sarawak 2016 di Menara Seri Wilayah, Putrajaya.
Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Kontinjen Wilayah Persekutuan bertekad mengekalkan kejuaraan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 di Sarawak yang akan berlangsung mulai 22 hingga 31 Julai dengan menyasarkan 70 pingat emas.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sasaran itu ditetapkan bagi mengekalkan gelaran juara keseluruhan yang pernah dirangkul SUKMA ke-17 dengan menewaskan 13 negeri lain.

Berikutan itu, beliau menjanjikan imbuhan kepada atlet yang meraih pingat pada temasya itu bagi memberi motivasi dan suntikan semangat.

“Saya yakin dengan kekuatan 389 atlet pada kejohanan kali ini, akan memberikan persembahan dan prestasi terbaik dalam 24 jenis sukan yang dipertandingkan dengan latihan serta tunjuk ajar dari 51 jurulatih masing-masing.

“Atlet yang menyumbang emas akan diberi imbuhan RM5,000, perak RM1,500 dan gangsa RM1,000,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 2016.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Seri Adnan Md Ikhsan; Timbalan Ketua Setiausaha (KWP) merangkap Ketua Kontijen WP SUKMA ke-18; Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Seri Hasim Ismail dan Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Katanya, imbuhan diberikan menunjukkan pihak pengurusan tertinggi KWP dan MSWP komited dalam memberi sokongan yang tinggi untuk kecemerlangan sukan di Wilayah Persekutuan.

“Jika sebelum ini kita dapat 55 emas, 38 perak dan 49 gangsa, saya yakin dengan latihan berterusan atlet mampu mengekalkan kejuaraan SUKMA lalu.

“Tiada kejayaan tanpa usaha dan usaha itu harus datang daripada atlet malah, jurulatih dan pengurus pasukan yang perlu memastikan persefahaman terus dipupuk bagi meraih kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 8:27 AM