AZIZULHASNI (kiri) bersama Nicol (tengah) dan Chong Wei. FOTO FB AZIZULHASNI AWANG
AZIZULHASNI (kiri) bersama Nicol (tengah) dan Chong Wei. FOTO FB AZIZULHASNI AWANG
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berkongsi rasa gembira dan bangga dapat berdiri di pentas sama dengan dua legenda sukan negara, Datuk Lee Chong Wei serta Datuk Nicol David pada majlis penutup temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022, malam tadi.

Berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Azizulhasni bersama-sama legenda badminton, Chong Wei serta ratu skuasy, Nicol diberi penghormatan untuk menyerahkan trofi kepada atlet terbaik lelaki, wanita serta juara keseluruhan edisi kali ini iaitu kontinjen Johor.

"Malam tadi saya berkesempatan berkongsi pentas dengan dua lagi legenda sukan Malaysia @nicoldsquash @leechongweiofficial pada majlis penutup Sukma.

"Sentiasa seronok dapat melihat dua rakan saya ini dan kami sempat berbual bersama.

"Tahniah kepada Johor kerana menjadi juara keseluruhan untuk edisi kali ini dan saya berharap ia dapat memberi inspirasi kepada negeri lain untuk bekerja lebih gigih dan lebih berdaya saing pada masa hadapan.

"Kepada semua pemenang, syabas, terus bekerja keras dan kekal konsisten. Kepada mereka yang tidak berjaya mendapat sebarang pingat, lakukan perubahan yang diperlukan, jangan berputus asa dan berusaha untuk menjadi lebih baik," katanya di laman sosial miliknya.

Perkara sama turut dikongsi Chong Wei di laman sosialnya yang turut mengucapkan tahniah kepada semua atlet menyertai Sukma pada edisi kali ini.

"Kami sudah biasa menerima pingat di podium. Kali ini kami memberi pingat.

"Tahniah kepada setiap individu dan pasukan yang mempamerkan prestasi terbaik di Sukma 2022. Jangan lupa langkah seterusnya, lakukan yang terbaik untuk negara anda! Tahniah sekali lagi!," katanya.

Johor muncul juara Sukma buat kali pertama selepas mengutip 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa pada temasya dwi tahunan itu.

Kutipan pingat itu jauh meninggalkan pencabar terdekat di tempat kedua iaitu Terengganu menerusi 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa manakala Wilayah Persekutuan ketiga dengan 55 emas, 68 perak dan 64 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 5:31 PM