AKSI Yibing ketika menentang Basilashvili.
AKSI Yibing ketika menentang Basilashvili.
AFP

New York: Wu Yibing muncul pemain China pertama dalam tempoh 63 tahun menang perlawanan Grand Slam selepas menyingkirkan pilihan ke-31, Nikoloz Basilashvili di Terbuka Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Wu, 22, menang 6-3, 6-4, 6-0 dalam aksi pembukaan, meledak sembilan ace ketika mengatasi lawan dari Georgia itu.

Mei Fu Chi ketika Wimbledon pada 1959 adalah pemain lelaki China terakhir menang perlawanan kejohanan utama.

Wu yang menduduki ranking ke-174 dunia dan mara menerusi kelayakan juga lelaki China pertama menang perseorangan Terbuka AS sejak Cheng Guy pada 1935.

"Gembira dan puas tetapi masih banyak lagi perlawanan menunggu," kata Wu kepada atptour.com.

"Pada set ketiga saya tak tahu sama ada dia cedera atau tidak. Saya hanya cuba mengembalikan bola dengan sebaiknya dan kekal fokus, tidak fikir menang atau kalah.

"Itu sebabnya saya fikir tidak terlalu emosi dan kekal tenang."

Wu adalah juara junior 2017 di New York tetapi karier profesionalnya kerap dihantui kecederaan dan tersisih antara Mac 2019 sehingga Januari 2022.

Dia menduduki ranking terendah 1,869 pada Mac lalu tetapi kini menang 14 perlawanan berturut-turut.

Wu akan menentang pemain kelayakan dari Portugal, Nuno Borges yang menewaskan pemain wild card dari AS, Ben Shelton 7-6(8/6), 3-6, 7-6 (5/7), 6-7 (8/10), 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 11:40 AM