KONTINJEN Malaysia pada acara pembukaan Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand.
KONTINJEN Malaysia pada acara pembukaan Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand.
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Prestasi luar biasa dipamerkan atlet negara sepanjang tiga hari berlangsungnya Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 memberi gambaran sasaran 35 emas mampu dicapai pada edisi kali ini.

Ini kerana berdasarkan pencapaian terkini atlet negara membabitkan beberapa acara terutama badminton dan karate menyaksikan mereka mempamerkan prestasi menakjubkan seterusnya menjadi antara lubuk emas buat Malaysia.

Ketua Kontinjen Negara, Profesor Dr Mohd Fo'ad Sakdan berkata, sepanjang tiga hari berlangsungnya AUG sudah memberi gambaran akan ada elemen kejutan membabitkan beberapa acara lain kelak.

"Atlet Malaysia secara keseluruhannya menunjukkan prestasi baik dan cemerlang. Selepas enam sukan dijalankan setakat ini, semua atlet berjuang dengan jitu dan jaya tanpa sebarang masalah.

"Secara keseluruhannya, saya optimis Malaysia akan dapat mencapai sasaran pingat ditetapkan, malah berdasarkan prestasi terkini atlet mungkin menjangkau daripada sasaran lebih cerah.

"Acara karate dan badminton amat mengejutkan kerana rata-rata atlet mempamerkan aksi begitu mantap berbanding AUG pada edisi lalu," katanya.

Temasya dwi tahunan itu membuka tirai secara rasminya semalam dengan penyertaan lebih 1,500 peserta membabitkan 11 negara di rantau ini.

Penganjuran kali ini yang berpusat di negeri keempat terbesar di Thailand mempertaruhkan 228 pingat membabitkan 30 acara.

Pada acara pembukaan di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat itu, pemain bola sepak negara yang juga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Muhammad Aliff Najmi Shaani dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Penyertaan Malaysia pada kali ini membawa harapan besar dengan meletakkan sasaran membawa pulang 35 emas, sekali gus mengulangi pencapaian pada edisi 2018 di Myanmar.

Setakat tiga hari temasya terbabit, Malaysia sudah merangkul 16 emas, 22 perak dan 12 gangsa.

Temasya berkenaan diadakan selama 11 hari dengan acara terakhir bakal berlangsung pada 6 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 12:33 PM