SKUAD catur negara bergambar bersama pingat emas yang dimenangi di temasya AUG 2022.
SKUAD catur negara bergambar bersama pingat emas yang dimenangi di temasya AUG 2022.
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Pasukan catur negara beraksi cemerlang apabila membolot semua empat pingat emas ditawarkan di temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 pada hari terakhir acara itu.

Emas Malaysia itu disumbangkan menerusi individu lelaki, Rohan Shan Tze Navaratnam; individu wanita, Tan Li Ting; berpasukan lelaki dan berpasukan wanita.

Selain empat emas, skuad negara turut meraih dua perak dalam acara individu lelaki dan wanita menerusi Muhammad Faqih Aminuddin dan Chua Jia Tien.

Dalam pada itu meskipun atlet negara berjaya menamatkan saingan di kedudukan ketiga dalam dua acara itu, namun berdasarkan peraturan kejohanan, hanya dua pemain daripada satu negara boleh memenangi pingat.

Keputusan itu menyaksikan atlet Thailand, Kavin Nattavutthisit yang menduduki tangga keempat dalam kategori individu lelaki diberi pingat gangsa.

"Alhamdulillah hari ini kita cipta sejarah gemilang sukan catur tanah air kerana berjaya sapu bersih semua pingat dipertandingkan.

"Tahniah kepada pemain yang menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi sepanjang kejohanan ini.

"Saya sangat berbangga dengan pencapaian dilakar mereka di temasya ini," kata ketua jurulatih pasukan catur negara, Mohd Ezmi Mahmmod.

Untuk rekod, pencapaian skuad catur dalam edisi ke-20 ini melepasi sasaran satu emas ditetapkan, sekali gus mengatasi kejayaan memenangi dua pingat emas dan satu perak di Nay Pyi Daw, Myanmar pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 8:20 PM