PERENANG negara, Sebastion Soon muncul atlet renang paling menyerlah dengan tiga pingat emas dalam 400m individu medley, 1,500m gaya bebas individu lelaki dan 4x200m gaya bebas lelaki.
PERENANG negara, Sebastion Soon muncul atlet renang paling menyerlah dengan tiga pingat emas dalam 400m individu medley, 1,500m gaya bebas individu lelaki dan 4x200m gaya bebas lelaki.
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Pasukan renang negara menutup tirai saingan Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 dengan pencapaian memuaskan apabila membawa pulang enam emas, 11 perak dan 10 gangsa.

Walaupun pencapaian itu gagal memenuhi sasaran ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu lapan emas, namun tetap ada elemen kejutan ditampilkan barisan perenang negara pada edisi kali ini.

Perenang negara menjadi atlet Malaysia tunggal berjaya memecahkan rekod kejohanan setakat ini, menerusi kuartet 4x200 meter (m) gaya bebas lelaki terdiri daripada Welson Sim, Sebastian Soon, Low Zheng Yong dan Terence Ng Shin Jie menerusi catatan 7 minit 32:34 saat.

Pengurus pasukan renang Malaysia, Tan Seng Seng berkata, barisan perenang negara tetap memberikan komitmen dan mempamerkan aksi mantap walaupun kebanyakannya kali pertama beraksi di temasya dwi tahunan itu.

"Kami sebenarnya boleh mencapai sasaran ditetapkan cuma tidak bernasib baik pada saingan 4x100m dan 200m gaya bebas termasuklah penyertaan membabitkan acara 50m kuak dada.

"Secara keseluruhan, saya tetap berpuas hati dengan prestasi mereka kerana walaupun kali pertama menyertai kejohanan ini, tetap membawa pulang pingat.

"Jika diikutkan, atlet renang negara tidak pulang dengan tangan kosong apabila 15 daripada 17 perenang membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat di kejohanan ini," katanya.

Selain itu, Seng Seng berkata, perenang negara Sebastian Soon paling menyerlah di kolam renang apabila membawa pulang tiga emas membabitkan acara individu dan berpasukan.

Menurutnya, pasukan renang negara akan berusaha lebih keras lagi bagi memastikan penyertaan pada edisi akan datang mampu mencapai sasaran ditetapkan KPT.

Mengikut rekod, emas negara diperoleh menerusi acara 400m gaya bebas lelaki, 1,500m gaya bebas lelaki, 400m individu lelaki, kuartet 4x200m gaya bebas lelaki, 100m gaya bebas lelaki dan 400m kuak lentang lelaki.

Pada edisi 2018 menyaksikan kem renang negara membawa pulang lapan emas, tujuh perak dan 11 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 10:34 AM