CHUNG Wei (kiri), Jamery Siga (tengah) dan Anas Zul Amirul Sidi menunjukkan pingat emas yang dimenangi di Kompleks Renang Bukit Jalil, hari ini. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
CHUNG Wei (kiri), Jamery Siga (tengah) dan Anas Zul Amirul Sidi menunjukkan pingat emas yang dimenangi di Kompleks Renang Bukit Jalil, hari ini. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Jumiati Rosly


MUNCUL sebagai penyumbang pingat terbanyak negara dalam sukan renang pada Sukan Para ASEAN di Singapura, Yoong Chung Wei menepati ramalan untuk terus menyerlah apabila memenangi pingat emas dalam saingan pertamanya pada hari kedua renang hari ini.

Perenang itu mencatat 30.01 saat untuk meraih emas acara 50m kuak kupu-kupu S14 (masalah pembelajaran), sekali gus menyamai rekod perenang Indonesia, Daniel Nugrohi Wijayanto pada temasya 2014 di Nay Pyi Taw. Pingat perak dimenangi Daniel (30.18s) sementara perenang Thailand, Mongkolchai Chanwit (31.01s) gangsa.

“Saya rasa seolah-olah saya boleh menang semuanya (acara disertai) dan saya akan cuba melakukan yang terbaik.

“Catatan masa yang saya buat tadi baik dan saya akan cuba berenang lebih pantas bagi membaiki catatan masa sendiri,” kata perenang berumur 22 tahun itu.

Untuk rekod, Chung Wei menjadi penyumbang terbesar pingat negara dalam sukan renang pada temasya lalu di Singapura apabila memenangi dua emas (50m kuak kupu-kupu dan 200m rampaian individu) serta enam perak.

Pada temasya kali ini, Chung Wei akan menyertai empat lagi acara iaitu 100m kuak dada, 200m rampaian individu, 4x100m gaya bebas dan 4x100m rampaian.

Olahragawan Sukan Paralimpiad 2014 dan 2016 itu berkata, dia berterima kasih kepada keluarga dan rakan yang banyak memberi sokongan buatnya beraksi di laman sendiri serta berjanji untuk menghasilkan lebih banyak pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 4:44 PM