ZIKRI pertahan emas yang dimenangi di Solo. FOTO Bernama
ZIKRI pertahan emas yang dimenangi di Solo. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Olahraga dan renang terus menjadi lubuk buat kontinjen negara meraih pingat emas pada hari keempat Sukan Para Asean (APG) 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Atlet olahraga, Zikri Zakaria antara yang membutirkan emas hari ini selepas turun bertanding dalam acara lontar peluru lelaki F55 dengan melakukan catatan peribadi terbaik 9.86 meter (m).

Zikri mengenepikan rakan senegara, Amirul Alif Abdul Raof yang meraih perak dengan lontaran sejauh 8.98m, manakala Riani Saputra dari Indonesia membawa pulang gangsa (7.82m).

"Saya rasa gembira selepas dapat meraih emas, perbaharui rekod baharu temasya dan mencatat masa peribadi terbaik kerana sebelum ini saya hanya lakukan lontaran sejauh 9.64m di Grand Prix Itali.

"Semangat dari keluarga dan kawan-kawan yang membawa saya sampai ke tahap ini terutamanya abang saya sebab banyak menyokong saya, itu yang buat saya semangat buat rekod baharu kejohanan.

"Saya juga seronok kerana bukan sahaja dapat pertahankan emas di Solo, Indonesia tapi catatan ketika itu sangat jauh 9.05m berbanding apa yang saya lakukan hari ini," kata Zikri.

Selain Zikri turut meraih emas ialah Dorian Poulus dalam acara lontar peluru wanita F44 dengan catatan 8.65m, mengetepikan wakil Indonesia, Warmia Marto Samidi (8.21m) dan gangsa milik Tran Thi Thuy Hang dari Vietnam (7.39m).

Turut cemerlang dan meraih rekod temasya ialah perenang para negara, Byran Lau yang memenangi emas acara 100m gaya bebas lelaki S14 dengan catatan 54.84 saat (s), menewaskan rakan senegara, Ethan Khoo (56.96s), manakala gangsa milik wakil Thailand, Wachirawat In Choo (58.81s).

Dalam acara 100m kuak kupu-kupu lelaki S8, Rusdianto Rusmadi meraih emas dengan melakukan rekod temasya 1:10.10s, selepas mengalahkan Guntur Guntur dari Indonesia (1:13.08s) dan gangsa diraih perenang Vietnam Tho Giang Le (1:17.80s).

Seorang lagi perenang negara Imaan Aiman turut cemerlang apabila meraih emas dalam acara 100m kuak kupu-kupu lelaki S14 selepas melakukan renangan dengan catatan 1:00.35s, manakala perak milik Ariel Joseph dari Filipina (1:00.73s) dan Byran meraih gangsa (1:01.73s).

Perenang sensasi negara, Fraidden Dawan terus cemerlang apabila menghadiahkan emas dalam acara 100m kuak kupu-kupu lelaki S10 dengan catatan 1:09.27s, mengetepikan perenang Indonesia, Tangklisan Steven (1:13.86s) dan Phasit Phukhamkhom dari Thailand (1:18.01s).

Setakat jam 4 petang waktu Malaysia kontinjen negara meraih 30 emas, 24 perak dan 15 gangsa menghampiri sasaran 33 emas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 8:02 PM