SHAH gigih jalani latihan.
SHAH gigih jalani latihan.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketika mata peminat sukan olahraga tertumpu kepada jaguh pecut negara. Muhammad Azeem Mohd Fahmi, atlet lompat kijang remaja, Muhammad Shah Sholihin turut menanam tekad mengharumkan nama Malaysia di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia dari 1 hingga 6 Ogos ini.

Menyedari harapan menghadiahkan pingat tipis, namun atlet berusia 19 tahun itu tetap mempunyai misi untuk direalisasikan iaitu mencatatkan catatan rekod peribadi terbaik dengan melepasi jarak 16 meter.

Ia bukan mustahil direalisasikan Shah yang berasal dari Tanjung Piandang Perak dan turut diakui jurulatihnya Muhammad Khairi Amri.

"Shah kini tak sabar beraksi dan persediaannya berjalan baik seperti dirancang serta kelemahan dari segi teknik lompatan itu sudah diperbaiki. Saya lihat dia juga cukup bersemangat dan tak sabar untuk membawa cabaran negara.

"Cuma saya sedikit bimbang mengenai lompatannya nanti sebab tiada jurulatih yang akan melihat dan memperbaiki tekniknya. Apapun saya sebagai jurulatih mengharapkan dia tidak akan berputus asa dan akan mampu untuk capai 16m (meter) atau perbaiki catatan terbaik peribadinya," kata Khairi.

Shah layak ke kejohanan berkenaan selepas melakukan catatan 15.60m ketika menyertai Kejohanan Terbuka Pahang awal bulan lalu. Prestasinya turut konsisten apabila berjaya memperbaiki catatan terbaik peribadinya sebanyak tiga kali tahun ini bermula di Perak All Comers pada Februari dengan jarak 14.96m diikuti Terbuka Malaysia 15.11m dan terakhir di Pahang 15.60m.

Untuk rekod, Shah sebelum ini pernah meraih emas di Kejohanan Sekolah-Sekolah Sukan di Khon Kean, Thailand pada 2019 dalam acara sama.

Sementara itu, pelari pecut negara, Azeem turut dijangka mampu untuk melakarkan kejutan dan memperbaiki catatan masa terbaik peribadinya iaitu 10.28 saat (s) di Cali.

Tegas Azeem, biarpun bakal berhadapan atlet berkelas dunia di sana, perkara itu tidak akan melunturkan semangatnya, serta menjadi penghalang kepada fokusnya bagi memperbaharui catatan masa peribadi terbaik.

Rekod kebangsaan acara 100m dipegang pemenang pingat emas Sukan Sea 2017 Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s yang dicipta pada 2016, sementara rekod 200m dengan catatan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib pada 2019.

Selain Azeem dan Shah, turut layak beraksi di Cali adalah atlet 110m lari berpagar lelaki Elvin Yap dan Jonah Chang, lontar peluru lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 5:33 PM