SHAH (kiri) meraih pingat perak ketika menyertai Kejohanan Terbuka Pahang 2 Jun lalu.
SHAH (kiri) meraih pingat perak ketika menyertai Kejohanan Terbuka Pahang 2 Jun lalu.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kejayaan layak ke Kejohanan Remaja Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia 1 Ogos ini memberi suntikan semangat buat atlet remaja lompat kijang negara, Muhammad Shah Sholihan mengukir nama lebih gemilang dalam acara itu.

Muhammad Shah layak ke kejohanan berkenaan selepas melakukan catatan 15.60 meter (m) ketika menyertai Kejohanan Terbuka Pahang awal bulan ini.

Tiada sasaran tinggi diletakkan kepada atlet berusia 19 tahun dari Tanjung Piandang, Perak oleh jurulatihnya Muhammad Khairi Amri yang hanya berharap Muhammad Shah sekali lagi berjaya mencipta rekod peribadi terbaik.

"Saya memang jangka dia boleh layak ke Kejohanan Remaja Dunia berdasarkan prestasi semasanya ketika ini. Tahun ini saja dia berjaya buat catatan terbaik peribadinya tiga kali iaitu ketika di Perak All Comers pada Februari dengan jarak 14.96m diikuti Terbuka Malaysia 15.11m dan terakhir di Pahang 15.60m.

"Saya harap di kejohanan dunia nanti dia boleh lepasi jarak 16m. Baki masa yang ada ini saya mahu Shah guna sebaik mungkin untuk memantapkan lompatannya agar segala pengorbanan yang dilakukannya berbaloi," katanya.

Jelas Khairi perjalanan karier Shah juga turut banyak dibantu oleh Adun Titi Serong, Datuk Seri Puhat Nayan yang sentiasa memberi sokongan moral dan kewangan selama ini.

Untuk rekod Shah sebelum ini pernah meraih emas di Kejohanan Sekolah-Sekolah Sukan di Khon Kean Thailand pada 2019 dalam acara yang sama.

Shah bermula dalam sukan olahraga menerusi acara lari berpagar pada usia 14 tahun sebelum menukar acara ke lompat kijang.

Selepas itu dia tidak lagi menoleh ke belakang dan terus konsisten dalam setiap pertandingan yang disertai. Kejayaannya hari ini memberi petanda positif negara mempunyai kesinambungan atlet dalam acara berkenaan selepas Muhammad Hakimi Ismail dan Andre Anura Anuar.

Sementara itu seramai empat atlet negara akan beraksi di Kejohanan di Cali, Colombia itu membabitkan pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi, atlet 110m lari berpagar lelaki Elvin Yap dan Jonah Chang (lontar peluru lelaki).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 2:52 PM