AYUB RAHMAT
AYUB RAHMAT
Aida Adilah Mat


KUALA LUMPUR: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sekali lagi terpalit dengan kontroversi penyalahgunaan bahan terlarang selepas dua atlet yang beraksi pada temasya Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA) Perak bulan lalu disahkan gagal ujian doping.

Perkara itu didedahkan oleh Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun buat masa ini beliau enggan mendedahkan nama atlet itu namun mereka berasal dari negeri Pantai Timur.

“Dua atlet disahkan positif doping terdiri daripada seorang lelaki dan wanita.

“PABM sudah menghantar surat memohon penjelasan secara bertulis kepada mereka awal minggu ini dan saya akan tunggu maklum balas daripada mereka,” katanya.

Ayub berkata, atlet itu akan dipanggil untuk menjalani sesi pendengaran dalam tempoh terdekat dengan pingat yang dimenangi perlu dipulangkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk penyelarasan semula kedudukan pingat.

Kes itu nyata memberi kesan kepada sukan itu yang sebelum ini digugurkan daripada senarai sukan teras oleh MSN atas masalah sama.

Bagaimanapun angkat berat disenaraikan semula ke SUKMA sebagai sukan pilihan dan isu doping kali ini pasti akan memberi impak kepada sukan itu sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 6:57 PM