AMIRUL Hamizan Ibrahim. -FOTO NSTP
AMIRUL Hamizan Ibrahim. -FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Negeri yang menyaksikan atlet mereka gagal ujian doping kerana menggunakan bahan terlarang, berisiko tinggi untuk dilarang menyertai Sukan Malaysia (Sukma) seterusnya.

Demikian amaran tegas Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) kepada mana-mana atlet yang beraksi di Sukma bermula 16 hingga 24 September depan di sekitar Lembah Klang agar tidak terpalit lagi dengan isu penyalahgunaan bahan terlarang.

Naib Presiden PABM, Amirul Hamizan Ibrahim berkata, amaran keras itu dinyatakan sendiri oleh Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat kepada setiap persatuan negeri-negeri yang bertanding di Sukma.

"Presiden sudah memberikan amaran keras iaitu sekiranya ada berlaku lagi kes doping membabitkan negeri, kemungkinan negeri itu tidak boleh lagi menyertai Sukma.

"Jadi saya berharap setiap atlet dapat mengekalkan prestasi diri mereka dan buktikan bahawa angkatan mereka adalah bagus dan bersih daripada segala masalah doping," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Pada 2018, PABM terpalit dengan kontroversi penyalahgunaan bahan terlarang selepas dua atlet yang beraksi pada temasya Sukma Perak ke-19 disahkan gagal ujian doping.

Kes itu nyata memberi kesan kepada sukan angkat berat yang sebelum itu digugurkan daripada senarai sukan teras oleh MSN atas masalah sama.

Bagaimanapun angkat berat disenaraikan semula di Sukma Perak sebagai sukan pilihan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 2:34 PM