PRESIDEN PABM, Datuk Ayub Rahmat. FOTO ARKIB NSTP
PRESIDEN PABM, Datuk Ayub Rahmat. FOTO ARKIB NSTP
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Punca penangguhan sukan angkat berat di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, yang sepatutnya berlangsung hari ini, akhirnya terjawab.

Ia berikutan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengumumkan untuk menarik diri daripada mengendalikan sukan itu susulan tiga atlet dari dua negeri terbabit dengan isu doping.

Insiden itu memaksa badan induk sukan angkat berat itu 'meninggalkan' Sukma dengan mengikut ketetapan seperti diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2019 dan Mesyuarat Exco PABM, sebelum ini.

Ketetapan itu menyatakan sekiranya terdapat atlet ahli gabungan atau persatuan negeri yang positif doping, penyertaan atlet berkenaan dan atlet lain dalam ahli gabungan atau persatuan negeri yang ada di antara atletnya positif doping akan digantung dari Sukma 2022.

Ini termasuk penggantungan daripada menyertai mana-mana kejohanan dalaman dan antarabangsa selama dua tahun.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu tidak disambut baik Majlis Sukan Negara (MSN) dan disebabkan itu, PABM mengambil keputusan menarik diri daripada temasya Sukma 2022.

"Dimaklumkan PABM sudah menerima laporan daripada Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) berkaitan atlet angkat berat negeri positif doping.

"Mereka didapati positif ujian saringan doping sebelum menyertai Sukma kali ini. Semua atlet yang menyertai Sukma diwajibkan untuk menjalani ujian saringan doping sebelum pertandingan diadakan. Kali pertama ia dilakukan adalah sebelum Sukma Perak pada 2018.

"Dukacita tiga atlet itu dari dua negeri. Semua atlet itu dilarang untuk mengambil bahagian dalam sukan angkat berat di Sukma yang diadakan bermula 18 hingga 22 September ini," katanya.

Semalam, Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma 2022 memutuskan agar sukan angkat berat ditunda sehari kepada 20 September berbanding jadual asal pada 19 September.

Keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat dipengerusikan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan dihadiri semua wakil Majlis Sukan Negeri.

Menerusi kenyataan rasmi ADAMAS, tiga atlet muda didapati menggunakan bahan terlarang iaitu Metandienone, Tebutaline dan Oxymetholone.

Satu kes membabitkan atlet Perlis dan dua kes adalah atlet dari Terengganu dan ketiga-tiganya adalah adalah atlet lelaki dengan seorang berusia 16 tahun dan dua orang berusia 23 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 9:35 PM