Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penasihat Khas Kementerian Belia dan Sukan merangkap Pakar Rujukan Perubatan Sukan Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz menggesa semua pihak agar berganding bahu dalam memastikan isu doping dapat diatasi sepenuhnya tahun ini.

Katanya, apa yang berlaku sejak dua tiga tahun kebelakangan ini menunjukkan pengetahuan dalam kalangan atlet dan jurulatih seperti pengambilan ubat-ubatan atau makanan tambahan masih di tahap rendah sekali gus menyumbang kepada masalah doping.

Justeru, pelbagai pihak terutama Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), persatuan sukan, jurulatih dan atlet itu sendiri harus peka mengenai perkara ini dan saling membantu dalam mencegahnya.

Dengan mengambil kira Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal berlangsung di Sarawak pertengahan tahun ini, Ramlan mahu semua atlet bertanding bebas daripada isu itu.

“Ini semuanya di bawah pemantauan ADAMAS dan saya pasti mereka akan jalankan ujian prapertandingan seperi biasa. Bagaimanapun, kita harus memberi nasihat dan peringatan kepada semua pasukan. ini bukan saja tanggungjawab jurulatih atau atlet semata-mata.

“Ini penting kerana kita tak boleh membasmi atau membanteras sesuatu masalah melalui satu pihak saja. Kita harus menggembleng tenaga dengan semua pihak harus terbabit,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kejohanan Ragbi Premier 7 sebelah MCKK 2016, di sini, semalam.

Sebelum ini, arena sukan negara digegarkan dengan beberapa isu doping yang menghantui atlet berprofil tinggi tinggi negara.

Antaranya jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang gagal ujian doping bahan terlarang dexamethasone dua tahun lalu serta terbaru membabitkan jaguh bina badan, Sazali Samad yang didapati positif steroid.

Malah, pada SUKMA Perlis 2014 lalu, tiga atlet turut gagal doping membabitkan Olahragawati SUKMA 2014 Jenilie Empera, selain Dhia Danial Mohd Kharil dari Wilayah Persekutuan (basikal) dan atlet wanita Perlis Siti Fazera Ishak (angkat berat).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 5:50 AM