NOOR Faizwa (tengah) dilihat berpotensi untuk menyumbang pingat buat kontinjen Negeri Sembilan dalam acara angkat berat. FOTO Ihsan PABNS
NOOR Faizwa (tengah) dilihat berpotensi untuk menyumbang pingat buat kontinjen Negeri Sembilan dalam acara angkat berat. FOTO Ihsan PABNS
Mohd Amin Jalil


Seremban: Atlet angkat berat, Noor Faizwa Al Ikhwan Noor Azman, menjadi peserta tunggal yang bakal menggalas cabaran Negeri Sembilan dalam acara itu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20, di Kuala Lumpur dari 16 hingga 24 September depan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Angkat Berat Negeri Sembilan (PABNS), Mohamad Jani Ismail berkata, berbanding acara lain, pihaknya tidak menyenaraikan ramai atlet angkat berat untuk menggalas cabaran pada temasya sukan terbesar itu.

"Kita (PABNS) hanya menyenaraikan seorang atlet iaitu Noor Faizwa untuk menggalas cabaran pasukan di Sukma nanti.

"Ia dibuat bukan kerana kita tidak mempunyai atlet pelapis tetapi untuk memastikan hanya atlet yang benar-benar berprestasi tinggi dan berupaya menggalas cabaran dipilih mewakili pasukan.

"Tambahan pula sukan angkat berat ini unik dan tidak sama dengan acara lain. Pemilihan Noor Faizwa dibuat selepas mengambil kira prestasi atlet terbabit yang memuaskan sepanjang latihan selain pencapaiannya dalam beberapa kejohanan tempatan sebelum ini," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, Noor Faizwa, 22, yang kini berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat berpotensi untuk menyumbang pingat buat kontinjen Negeri Sembilan pada temasya itu.

Mohamad Jani berkata, antara pencapaian terbaik dicapai atlet berkenaan ialah merangkul dua pingat emas selepas berjaya mengangkat 91 kilogram (kg) dan acara Clean and Jerk dengan angkatan 121 kg, pada Kejohanan Angkat Berat Jemputan Perak 2022 di Ipoh, pada Februari lalu.

"Rekod yang Noor Faizwa capai dalam beberapa kejohanan angkat berat tempatan membuktikan dia mempunyai keupayaan tersendiri untuk memberikan cabaran dan seterusnya menyumbang pingat emas buat Negeri Sembilan.

"Kami di persatuan ini yakin dia boleh memberikan sumbangan terbaik sekali gus membantu kontinjen Negeri Sembilan meraih pencapaian membanggakan pada Sukma kali ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik ketegasan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk mengenakan tindakan tegas terhadap atlet sukan itu yang gagal ujian doping.

"Presiden PABM sudah memberikan amaran keras iaitu tidak berkompromi dengan mana-mana atlet atau persatuan negeri jika mendapati berlaku kes doping.

"Saya sambut baik ketegasan itu untuk memastikan setiap atlet angkat berat dapat mengekalkan prestasi mereka dan buktikan bahawa angkatan dibuat adalah bagus dan bersih daripada segala masalah doping," katanya.

Untuk rekod, pada 2018, PABM pernah terpalit dengan kontroversi penyalahgunaan bahan terlarang selepas dua atlet yang beraksi pada temasya Sukma Perak ke-19 disahkan gagal ujian doping.

Kes itu ternyata memberi kesan kepada sukan angkat berat yang sebelum itu digugurkan daripada senarai sukan teras oleh Majlis Sukan Negara (MSN) atas masalah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 5:18 PM