Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Giliran Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (Pestak) pula mengambil keputusan menarik diri daripada menjadi ahli gabungan badan induk sepak takraw negara.

Hal ini bermakna Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) semakin hilang kuasa dengan setakat ini sudah empat persatuan sepak takraw negeri menyatakan pendirian mahu menarik diri sebagai ahli gabungan PSM.

Menerusi kenyataan media Presiden Pestak Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah memaklumkan pihaknya sudah semakin hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail.

Beliau berkata, keengganan Ahmad menjelaskan situasi sebenar kepada ahli gabungan dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) turut mempengaruhi pihaknya untuk menarik diri daripada dari PSM.

"Pestak mengambil keputusan menarik diri sebagai ahli gabungan PSM bagi mengembalikan martabat dan pembangunan sukan sepak takraw," katanya.

Sementara itu, Persatuan Sepaktakraw Perlis (PSTPs) Syed Araniri Syed Ahmad Al Edroos memaklumkan bahawa tindakan Presiden PSM yang mengeluarkan kenyataan menyangkal tindakan penggantungannya oleh Astaf membawa padah.

"PSTPs juga memandang serius banyak isu ketirisan dalam PSM terutamanya membabitkan soal kewangan yang sering disembunyikan dari pengetahuan Ahli Majlis Tertinggi PSM. Kedapatan banyak perbelanjaan kadangkala dibuat tanpa kelulusan Ahli Majlis Tertinggi PSM.

"Maka PSTPs berikrar akan memberikan sokongan kepada mana-mana negeri yang keluar dari gabungan PSM untuk menubuhkan sebuah entiti baru sepak takraw negara. PSTPs mencadangkan nama entiti baru itu sebagai Persekutuan Sepaktakraw Malaysia," katanya.

Pestak menjadi ahli gabungan keempat yang mengumumkan keluar daripada PSM selepas Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) dan Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ) mengumumkan berbuat demikian sebelum Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) mengambil keputusan sama, kelmarin.

Ahmad digantung selama 15 tahun oleh Astaf selepas didakwa atas empat pertuduhan termasuk pelanggaran Artikel 5.5 undang-undang Astaf dengan menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dengan harapan mereka akan campur tangan terhadap keputusan pemilihan Astaf 1 Mac lalu.

Selain itu, beliau turut didenda sebanyak AS$25,000 (RM102,937) bagi menampung kos pendengaran kes berkenaan.

Astaf pada 28 April lalu turut mengambil tindakan menggantung sementara PSM daripada terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan itu berkuat kuasa serta-merta, atas dakwaan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Istaf dan Astaf seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Dalam surat tunjuk sebab kepada PSM, badan induk sukan sepak takraw Malaysia itu turut didakwa melakukan fitnah terhadap kepimpinan dan Majlis Eksekutif Astaf serta organisasi Astaf secara keseluruhan berdasarkan kenyataan Ahmad mengenai pemilihan Astaf.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 3:02 PM