MUHAMMAD Azeem menunjukkan keputusan SPM diperolehnya dan mendapat beberapa tawaran melanjutkan pelajaran. FOTO L MANIMARAN
MUHAMMAD Azeem menunjukkan keputusan SPM diperolehnya dan mendapat beberapa tawaran melanjutkan pelajaran. FOTO L MANIMARAN
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi digalakkan untuk menyambung pengajian di luar negara bagi membolehkannya menyertai pertandingan lebih kompetitif sepanjang menimba ilmu.

Bagaimanapun, jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata, terpulang kepada Azeem untuk mencorak masa depannya kerana akhirnya pilihan terletak di tangannya sama ada mahu menyambung pengajian di dalam atau di luar negara.

"Soal akademik saya sebenarnya tak masuk campur. Itu biarlah ibu bapa dan Azeem sendiri yang buat keputusan. Prinsip saya, kalau saya yang bantu dia buat keputusan, tiba-tiba tak kena dengannya, dia mungkin akan menyesal.

"Tapi kalau tanya pendapat saya, nak berlatih dan nak berjaya, (sambung belajar) di mana-mana pun boleh. Cuma saya lebih galakkan dia keluar (negara) kerana akan peroleh pertandingan lebih kompetitif.

"Di Malaysia, kita sudah tahu 'circle' pelari tempatan. Jika di luar negara, mungkin ada sesuatu (pesaing) yang baru. Tapi untuk saya, paling utama sama ada belajar di dalam atau di luar negara, Azeem ada ilmu yang akan memberi manfaat kepadanya selepas bersara sebagai atlet," katanya.

Azeem meraih keputusan cemerlang 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, sekali gus menyaksikannya menerima beberapa peluang untuk melanjutkan pelajaran.

Antaranya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menawarkannya mengikuti program pengajian diploma dan biasiswa selain turut menerima dua tawaran di luar negara iaitu Universiti Winona dan Minnesota.

Atlet berusia 18 tahun yang mendapat jolokan 'Usain Bolt Malaysia' itu memperbaharui rekod peribadi dalam acara 100 meter (m) dengan mencatat masa 10.28 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perak 2022 di Stadium Perak, Sabtu lalu.

Catatan itu memperbaharui rekod peribadi 100m berbanding 10.37s yang dicatat sebelum ini sewaktu menyertai Kejohanan Kuala Lumpur Allcomers pada 26 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 11:48 AM