Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, 18, membuktikan aktif bersukan bukan penghalang daripada memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Pelari yang juga calon SPM 2021 Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Gunung Rapat di sini, memperoleh 6A daripada sembilan mata pelajaran diambil.

Muhammad Azeem yang turut dikenali dengan jolokan ''Usain Bolt Malaysia' berkata, keputusan diperoleh sekali gus dianggap sebagai pengubat duka terhadap 'tragedi' Sukan SEA Vietnam pada Mei lalu apabila penyertaannya dalam saringan 100 meter (m) lelaki dibatalkan apabila melakukan 'false start'.

"Saya berpuas hati dengan keputusan ini walaupun tidak menjangka memperoleh 6A. Saya anggap pengorbanan saya terbayar, walaupun kecewa pada Sukan SEA lalu namun Alhamdulillah, Allah SWT ganti kekecewaan ini dengan keputusan ini.

"Mungkin bagi individu lain, memperoleh 6A daripada keseluruhan 9A itu biasa, namun bagi mereka yang tahu jadual harian saya, mereka pasti tahu yang saya perlu berjuang sehabisnya dalam mengimbangi pelajaran dengan jadual latihan olahraga.

"Memang penat namun Alhamdulillah, saya dapat kekuatan daripada guru, rakan selain keluarga," katanya ditemui di sekolah berkenaan.

Ditanya berkaitan perancangan dalam akademik selepas ini, anak keempat daripada lima beradik itu berkata, pertimbangan sedang dibuat untuk menyambung pengajian dengan mengikuti latihan di kolej di Amerika Syarikat (AS).

Katanya, tawaran biasiswa mengenainya sudah diperoleh sejak berusia 15 tahun, justeru dia kini dalam fasa perbincangan dengan keluarga untuk memilih tawaran terbaik.

"Ada beberapa kolej di AS sudah mengemukakan tawaran. Bagaimanapun ada juga kemungkinan hasrat itu berubah iaitu sama ada hendak teruskan sambung belajar di sini (Malaysia) atau belajar di sana (Amerika Syarikat)," katanya.

Pembatalan saringan acara 100m lelaki Sukan SEA Vietnam sekali gus menggagalkan usaha pelari muda itu untuk mencipta hatrik dengan mengekalkan emas 100m lelaki yang dimenangi pada 2017 dan 2019.

Biarpun dibatalkan dalam saringan 100m lelaki, Muhammad Azeem berjaya mengukir nama menerusi Sukan SEA Hanoi apabila kuartet lelaki disertainya untuk acara 4×100m berjaya memperoleh perak.

Larian cukup bertenaga kuartet dengan catatan 39.09 saat pada temasya itu sekali gus melebur rekod kebangsaan yang dicatat pada Sukan SEA 2017 dengan catatan 39.27 saat.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak Rahimah Mohamed berkata, 787 atau 2.73 peratus calon SPM 2021 di Perak memperoleh A bagi semua mata pelajaran dengan 17 daripadanya mendapat semua A+.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 3:27 PM
Muhammad Azeem Mohd Fahmi gembira selepas memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cemerlang ketika keputusan SPM diumumkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat Ipoh. FOTO L.MANIMARAN
Muhammad Azeem Mohd Fahmi gembira selepas memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cemerlang ketika keputusan SPM diumumkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat Ipoh. FOTO L.MANIMARAN