KHAIRUL Shahril (tengah) akui MSN Perak mengambil berat mengenai atlet khususnya yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
KHAIRUL Shahril (tengah) akui MSN Perak mengambil berat mengenai atlet khususnya yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Noor Hidayah Tanzizi


Seri Iskandar: Kerajaan negeri Perak akan melihat bantuan yang boleh diberikan kepada pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi sekiranya menyambung pengajian di luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, beliau juga menggalakkan jika Azeem memilih melanjutkan pelajarannya ke luar negara kerana ia membantu mengembangkan bakatnya sekali gus diri dan pelajaran remaja itu.

Bagaimanapun katanya, keputusan untuk Azeem melanjutkan pelajaran serta meneruskan latihan di Amerika Syarikat (AS) atau di dalam negara terletak di tangannya sendiri.

"Kita memang lebih menjurus dia untuk pergi ke AS kerana melihat dalam konteks pembangunan sukan yang boleh membantu untuk meningkatkan lagi pencapaiannya (kerana akan memperoleh pertandingan lebih kompetitif dengan pesaing baru).

"Kita sentiasa beri komitmen dengan perkara ini dan bersedia untuk membantu (tetapi) kita tidak menjanjikan satu amaun dan sebagainya. Kita akan bincang dengannya tentang apa yang perlu dan mampu kita bantu sekiranya Azeem memilih melanjutkan pengajiannya di luar negara.

"Malah, Majlis Sukan Negara (MSN) Perak juga mengambil berat tentang atlet khususnya yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi," katanya ketika ditemui pada majlis meraikan pelajar cemerlang SPM 2021 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, di sini.

Beliau berkata berkata, kesediaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menawarkan atlet berusia 18 tahun yang mendapat jolokan 'Usain Bolt Malaysia' itu mengikuti program pengajian di universiti berkenaan juga adalah peluang yang baik untuk perkembangan sukan dan pendidikan.

"Tapi dalam masa sama kerana ada pilihan yang lebih baik untuk perkembangan sukan, diri dan pelajarannya saya berpendapat AS adalah satu pilihan yang sesuai.

"Bagaimanapun apa saja keputusan Azeem nanti saya yakin yang terbaik untuk dirinya," katanya.

Khairul Shahril berkata, kejayaan Azeem dan beberapa atlet lain yang memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memberi motivasi kepada pelajar lain selain membuktikan kesibukan menjalani latihan tidak menghalangnya mendapat keputusan cemerlang.

"Saya juga yakin ia akan menukar sedikit persepsi ibu bapa terhadap pembabitan pelajar dalam sukan, mungkin selepas ini mereka beri galakkan anak terbabit dalam arena sukan," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Azeem lebih cenderung untuk melanjutkan pelajaran serta meneruskan latihan di AS. Bapanya, Mohd Fahmi dilaporkan berkata, anaknya masih menimbangkan sama ada menyertai universiti tempatan atau luar negara.

Azeem meraih keputusan cemerlang 6A dalam SPM 2021, sekali gus menyaksikannya menerima beberapa peluang untuk melanjutkan pelajaran seperti UPSI yang menawarkannya pengajian diploma dan biasiswa, selain dua tawaran di luar negara iaitu Universiti Winona dan Minnesota.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 12:06 PM