MUHAMMAD Azeem Fahmi (tengah) memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Xali, Colombia.
MUHAMMAD Azeem Fahmi (tengah) memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Xali, Colombia.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: "Tanpa mendapatkan kepakaran jurulatih luar negara dan hanya menggunakan jurulatih tempatan pun, dia (Muhammad Azeem Fahmi) boleh melakukan catatan baik iaitu 10.09 saat (s)."

Demikian ulas Pengerusi Jawatankuasa Panel Pemilihan Projek Larian 100 Meter Bawah 10 Saat (Projek B10) kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli selepas melihat kejayaan pelari pecut negara itu memecahkan rekod kebangsaan di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, hari ini.

Jelas Pekan, tidak semestinya dengan mendapatkan khidmat jurulatih luar mampu menatijahkan keputusan baik, sebaliknya kita perlu percaya dengan kepakaran jurulatih tempatan.

"Untuk berjaya sebenarnya tidak semestinya kita perlu berkiblatkan sangat kepakaran jurulatih yang ada dekat luar sana.

"Kita boleh sebenarnya. Kalau 10.09s itu dia buat tanpa bantuan jurulatih luar, kenapa tidak kita tunjukkan pula dia sebagai contoh yang baik dengan kepakaran jurulatih yang ada.

"Janganlah kita terlalu taksub untuk hantar dia ke luar negara. Bukan apa, saya takut dia jadi macam pelari pecut Indonesia, Lalu Muhammad Zohri yang buat catatan 10.03s dan hilang begitu saja. Dah berapa tahun tapi dia masih tak dapat pecahkan rekod bawah 10s," katanya kepada Harian Metro.

Pekan berkata, apa yang menjadi kerisauan adalah senario latihannya ketika di luar negara nanti kerana dikhuatiri Azeem tidak dapat membiasakan diri.

"Kita tengok dia boleh buat tanpa adanya khidmat jurulatih luar negara. Orang kata kalau dia pergi ke luar negara, dia boleh pecahkan rekod bawah 10s.

"Itu hanya atas kertas sahaja. Kita risau bila dia duduk luar negara nanti kita tak tahu apa akan jadi.

"Adakah dia akan dapat jurulatih yang baik? Adakah dia dapat jurulatih boleh berikan tumpuan sepenuhnya kepada dia? Dari segi pemakanannya, persekitarannya dan gaya hidup di sana," katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Azeem digalakkan untuk menyambung pengajian di luar negara selepas beroleh keputusan cemerlang 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkannya menyertai pertandingan lebih kompetitif sepanjang menimba ilmu.

Bagaimanapun, jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata, terpulang kepada Azeem untuk mencorak masa depannya kerana pilihan terletak di tangannya sama ada mahu menyambung pengajian di dalam atau di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 5:55 PM