Shahidan Kassim.
Shahidan Kassim.
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAPs), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bersedia untuk 'bertarung' merebut jawatan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Bukannya hanya sekadar tangkap muat, Shahidan berkata, beliau bersedia merebut jawatan terbabit atas dasar mahu membantu meningkatkan lagi sukan olahraga negara.

Katanya, perkara terbabit akan menjadi kenyataan jika beliau diterima oleh perwakilan pada pemilihan yang akan berlangsung Ahad ini.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan juga dilihat tidak akan berganjak untuk merebut jawatan nombor satu badan induk olahraga negara itu.

"Kalau ada sokongan saya setuju. Saya mengetahui dan sedia maklum mengenai nama dicalonkan seterusnya sudah tiba masanya kembali ke KOM.

"Saya akan teruskan keputusan pihak yang mencalonkan saya dan tunggu pemilihan nanti. Apa tindakan saya nanti akan diputuskan selepas pemilihan," katanya ketika dihubungi Arena Metro mengenai pemilihan jawatan Presiden KOM bagi penggal 2022/2025.

Terdahulu, beliau dicalonkan oleh POAPs bagi merebut kerusi nombor satu KOM sekali gus mencabar penyandang ketika ini, Datuk SM Muthu yang turut mengesahkan akan mempertahankan jawatannya itu.

Shahidan bukanlah asing buat KOM apabila pernah menerajui badan induk itu pada 2006 hingga 2012 tetapi terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas tewas di tangan Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan bagi penggal 2013-2015.

Muthu pula dipilih sebagai presiden baharu KOM bagi penggal 2019/2022 selepas menewaskan Datuk Karim Ibrahim yang juga penyandang jawatan ketika itu dengan kelebihan tiga undi.

Bekas atlet olahraga Selangor era 1990-an, Nurhayati Karim turut dicalonkan bagi merebut kerusi 'panas' berkenaan pada pemilihan kali ini tetapi beliau akan menarik diri bagi memberi laluan kepada Shahidan.

Sementara itu, Karim yang kini memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP) berkata, pihaknya memberi sokongan penuh kepada Shahidan untuk kembali memimpin KOM selain menyifatkan beliau mampu menyelamatkan sukan olahraga negara yang kini mengalami kemerosotan prestasi.

"Malah, atlet dan jurulatih turut mahukan Datuk Seri Shahidan kembali menjadi presiden. Dengan pengalamannya sebagai presiden sebelum ini, saya percaya beliau mampu membawa sukan olahraga negara ke peringkat lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 7:00 AM