V SUBRAMANIAM  (tengah) ketika mempengerusikan majlis pembukaan sampul pencalonan kepimpinan  KOM  di Wisma OCM. FOTO Hairul Anuar Rahim
V SUBRAMANIAM (tengah) ketika mempengerusikan majlis pembukaan sampul pencalonan kepimpinan KOM di Wisma OCM. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persaingan tiga penjuru bakal berlaku dalam pemilihan presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi penggal 2022-2025 yang akan diadakan pada 12 Jun depan.

Dalam majlis pembukaan sampul pencalonan yang dilakukan hari ini, penyandang, Datuk SM Muthu bakal berdepan bekas atlet olahraga Selangor era 90-an, Nur Hayati Karim dan juga bekas presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Muthu yang memegang jawatan berkenaan bagi penggal 2019-2022, dicalonkan oleh Persatuan Olahraga Melaka, manakala Norhayati mendapatkan pencalonan dari Persatuan Olahraga Perak (Pop) dan Shahidan pula dicalonkan Persatuan Olahraga Perlis (POAPs) yang dipimpinnya sekarang.

Shahidan bukanlah asing buat KOM apabila pernah menerajui badan induk itu pada 2006 hingga 2012 tetapi terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas tewas di tangan Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan bagi penggal 2013-2015.

Muthu pula dipilih sebagai presiden baharu KOM bagi penggal 2019/2022 selepas menewaskan Datuk Karim Ibrahim yang juga penyandang jawatan ketika itu dengan kelebihan tiga undi.

Pop juga turut mencalonkan Hayati bagi jawatan Naib Presiden yang menyaksikan kedudukan berkenaan turut mempunyai lima calon lain, Syamsul Bani Abdullah, Josephine Kang, Datuk R Annamalai, Datuk Mark William dan Sallehuddin Satar. Hanya empat kerusi bagi naib presiden akan direbut keenam-enam calon berkenaan dan perlu diisi sekurang-kurangnya oleh seorang calon wanita. Sementara itu, bagi jawatan timbalan presiden pula menyaksikan pertembungan di antara Datuk Fadzil A Bakar dan Datuk Seri V Pulanthiran.

Menurut Pegawai Pemilihan Jawatankuasa, Datuk V Subramaniam, setakat ini hanya dua bantahan dibuat untuk pencalonan yang sudah dibuka hari ini. "Bagaimanapun, dua bantahan berkenaan akan diteliti terlebih dulu mengikut syarat-syarat dan perundangan KOM. Saya akan membincangkan perkara ini dengan jawatankuasa dan dalam masa satu atau dua hari lagi baru keputusan akan dibuat," katanya yang juga Timbalan II, Persatuan Badminton Malaysia. Antara bantahan berkenaan ialah membabitkan sama ada boleh seorang calon bertanding untuk dua jawatan dan satu lagi mengenai status calon sama ada sah atau tidak.

Dalam pada itu sampul pencalonan daripada Persatuan Olahraga Amatur Terengganu ditolak selepas menghantar borang tidak lengkap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 8:33 PM