DATUK Karim Ibrahim. FOTO Owee Ah Chun
DATUK Karim Ibrahim. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bekas Presiden Kesatuan Olahraga (KOM), Datuk Karim Ibrahim mahu perwakilan memilih calon yang terbaik untuk mengemudi badan induk sukan itu.

Beliau amat berharap apa yang berlaku dalam KOM ketika ini menjadi iktibar dan penanda aras menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk berkenan 12 Jun ini.

Sesi membuka kertas pencalonan 1 Jun lalu bertukar kecoh dengan Karim didakwa tidak berpuas hati dengan cara penyandang kerusi Presiden KOM, Datuk SM Muthu yang cuba menimbulkan provokasi dan tidak mengikut perlembagaan persatuan.

Tegas Karim apa yang dilakukannya adalah untuk kepentingan KOM sendiri kerana semua boleh melihat apa yang berlaku dengan pucuk kepimpinan badan induk olahraga itu ketika ini.

"Tiga suku kehidupan saya habis dalam stadium. Apa yang saya bangkitkan atas dasar sebagai pencinta sukan ini. Olahraga bukan medan politik atau milik presiden yang gila kuasa dan buat huru-hara menjahanamkan sukan olahraga Malaysia.

"Saya bersuara untuk perkara yang tidak betul yang saya lihat berlaku depan mata saya sendiri.

"Saya gesa pihak Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) dan PJS (Pesuruhjaya Sukan) untuk teliti perkara ini sebelum ia mudarat.

"Yang dicalonkan adalah menteri dan bekas exco negeri. Ketulusan sangat penting demi sukan olahraga Malaysia selari dengan akta pembangunan sukan.

"Mungkin pihak polis juga perlu terbabit bagi tidak memburukkan keadaan di AGM pada 12 Jun ini.

"Mahukah sukan kita 'reput' ini bakal di timbang di besi buruk nanti," kata Karim.

Terdahulu Muthu memutuskan untuk terus mempertahankan jawatan nombor satu KOM biarpun akan dicabar Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim pada pemilihan penggal 2022/2025 badan induk itu 12 Jun ini.

Shahidan bukanlah asing buat KOM apabila pernah menerajui badan induk itu pada 2006 hingga 2012 tetapi terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas tewas di tangan Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan bagi penggal 2013-2015.

Manakala Muthu pula dipilih sebagai presiden baharu KOM bagi penggal 2019/2022 selepas menewaskan Datuk Karim Ibrahim yang juga penyandang jawatan ketika itu dengan kelebihan tiga undi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 12:56 PM