MUTHU menyerahkan kepada ahli gabungan untuk membuat keputusan siapa yang layak untuk meneraju badan induk itu. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
MUTHU menyerahkan kepada ahli gabungan untuk membuat keputusan siapa yang layak untuk meneraju badan induk itu. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Penyandang kerusi Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu menegaskan bahawa beliau sesekali tidak akan berundur dan akan tetap mempertahankan kerusi yang dipegangnya.

Kerusi nombor satu badan olahraga itu kembali panas apabila Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan akan mencabar Muthu menjelang pemilihan badan induk itu yang dijadualkan 12 Jun ini.

Namun Muthu berkata, tidak gentar biarpun akan menentang Shahidan Kassim yang sebelum ini turut berpengalaman mengemudi badan induk itu pada 2006 hingga 2012 tetapi terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas tewas di tangan Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan bagi penggal 2013-2015.

Muthu berkata, tiada sebab dia menarik diri dan memberi laluan kepada Shahidan yang juga bekas presiden KOM itu kerana beliau turut menerima pencalonan dari ahli gabungan.

Justeru beliau menyerahkan kepada ahli gabungan untuk membuat keputusan siapa yang layak untuk meneraju badan induk itu.

"Saya rasa tak elok untuk saya tarik diri selepas mendapat kepercayaan dari ahli gabungan yang mencalonkan saya.

"Datuk Seri Shahidan juga dicalonkan oleh ahli gabungan begitu juga saya. Ini adalah persaingan sihat dan kita biar saja ahli gabungan yang putuskan siapa yang mereka rasakan layak," katanya.

Muthu mula menduduki kerusi nombor satu KOM pada 2019 selepas menewaskan penyandang jawatan ketika itu, Datuk Karim Ibrahim dengan kelebihan tiga undi dalam sesi pemilihan bagi penggal 2019/2022.

Selain Shahidan yang juga Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAPs), Muthu kali ini turut akan dicabar seorang lagi calon iaitu bekas atlet olahraga Selangor era 1990-an, Nurhayati Karim sekali gus bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Sementara itu Muthu berkata, ahli gabungan menyokongnya kerana berpendapat beliau perlu diberi peluang selepas perancangannya untuk membangunkan badan induk itu tergendala kerana negara dilanda wabak Covid-19.

Oleh sebabkan itu, Muthu berpendapat beliau perlu diberi peluang untuk meneruskan khidmat membangunkan sukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 5:43 PM